CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sunday, January 25, 2009

Alam Maya: Marilah bersedekah untuk warga Palestin

zubir@bharian.com.my

ASSALAMUALAIKUM. Hello! Apa khabar pembaca B*Pop? Di harap anda sihat dan gembira bersama rakan serta keluarga tersayang.

Ingin saya kongsi bersama anda perkara yang kurang menyenangkan berlaku kepada saya, baru-baru ini. Beberapa hari lalu, tingkap kereta saya dipecahkan, tas tangan saya dicuri! Mereka berjaya mengambil barangan peribadi saya seperti dompet, alatan mekap serta telefon bimbit. Geramnya!

Kejadian itu berlaku sangat pantas. Tidak sampai 30 saat saya meninggalkan kereta sementara membeli makanan tengahari, tingkap kereta saya kemudian dipecah masuk! Saya masih boleh melihat kedudukan kereta dari tempat membeli makanan itu, tapi mereka terlalu licik buat kerja. Teruk betul perangai budak-budak tu!

Perhatian kepada semua kawan dan teman artis, saya tidak ada nombor telefon anda ya. Semuanya hilang! Memang sakit hati apabila barangan peribadi kita dicuri. Berani mereka menceroboh dan memecah masuk serta mencuri barang kita. Kita yang sentiasa berusaha, bergelut masa dan memerah tenaga untuk mendapatkan barangan itu, semudah A,B, C dikebas pencuri!

Saya pasti, ramai yang akan mengatakan saya tidak sepatutnya meninggalkan tas tangan saya dalam kereta. Namun, semuanya berlaku begitu pantas! Ada terfikir juga, mungkin jika saya membimbit tas tangan ketika itu, saya akan diragut dan mungkin akan menerima kecederaan daripada hanya kaca tingkap kereta yang pecah? Siapalah tahu, sesuatu yang lebih teruk sebenarnya berjaya dielakkan. Who knows, God and the universe can be mysterious.

Peristiwa ini mengingatkan saya mengenai nasib yang dialami oleh penduduk Palestin ketika ini. Saya yang baru kehilangan tas tangan saja, berasakan ia pengalaman buruk. Penduduk Palestin pula kehilangan rumah, kematian ahli keluarga dan tanah tumpah darah mereka dicerobohi rejim Zionis. Tidak dapat saya bayangkan rasa kehampaan dan kesengsaraan yang mereka terpaksa lalui.

Ketika saya terbabit dalam penggambaran filem 1957: Hati Malaya, saya dapat rasai emosi sayang kepada tanah air kita. Saya mendalami emosi bahawa tanah ini milik kita dan bukan orang British! Bila Tanah Melayu kembali kepada pemiliknya, barulah rakyat mendapat hak dan identiti mereka kembali.

Dalam isu Israel-Palestin, ia isu tanah. Mengenai siapa yang memiliki dan duduk menetap di atas tanah itu. Ia bukan mengenai agama. Ramai yang keliru mengenai perkara ini. Sedikit demi sedikit, tanah rakyat Palestin dirampas dan semakin menyeksakan serta miskin hidup mereka.

Kita semua berasa terkejut dan hilang kata-kata melihat apa yang dilalui secara kejam oleh warga Palestin terutama anak-anak kecil. Insan yang tidak berdosa mati dan menderita kecederaan serius! Malangnya nasib mereka. Tak banyak benda yang orang dapat buat terhadap Israel kerana politik dunia yang wujud sekarang, manakala Israel punya rakan sekutu yang sangat berkuasa, Amerika Syarikat!

Namun, kita masih boleh memberi sumbangan dalam bentuk kewangan. Ini diharap dapat mengurangkan kesengsaraan mereka dan mampu untuk membina semula rumah serta kemudahan mereka yang rosak teruk akibat serangan bom dan mortar tentera Israel.

Justeru, jemputlah beramai-ramai datang dan memeriahkan suasana di Amcorp Mall, Petaling Jaya pada 31 Januari ini, hari Sabtu mulai jam 10 pagi hingga 6 petang menjayakan Jualan Amal Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) -Gaza anjuran kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP). Ada ramai artis popular akan hadir melelong barangan peribadi mereka.

Saya sendiri mungkin akan melelong baju yang pernah saya pakai dalam filem 1957: Hati Malaya atau Anak Halal atau apa saja barangan peribadi saya yang bersesuaian asal saja hasrat membantu rakyat Palestin tercapai. Datanglah beramai-ramai bersama keluarga, ibu, ayah, abang, kakak, adik dan teman anda. Oh ya! Jangan lupa bawa pacar anda, ya!

Mudah-mudahan kita bertemu dua minggu lagi, wassalam!

0 comments: