CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Thursday, January 1, 2009

Album Baru...





ALBUM: The Circus
ARTIS: Take That


GENRE: Pop

USAHA melahirkan album yang meraih kejayaan lumayan apabila kembali bersama dalam Beautiful World pada 2006, Take That menghadirkan pula The Circus - produksi kelima kumpulan vokal berpengaruh dalam sejarah industri muzik Britain.

Sarat dengan lagu romantik dan berentak perlahan, album yang menampilkan John Shanks sebagai penerbit diisi lagu menarik seperti What Is Love, How Did It Come To This dan Greatest Day.

Penggemar setia Take That pasti melihat The Circus memiliki segala pengisian yang dimahukan dalam album yang dihasilkan kumpulan ini.

Semua elemen disukai penggemar mereka disatukan, memperlihatkan kematangan dalam proses pembikinan The Circus sekali gus melambangkan kesungguhan kumpulan popular ini untuk terus bertahan.



Biarpun banyak diliputi persoalan terutama kemunculan semula tanpa Robbie Williams, Take That berjaya melepasi halangan itu dan The Circus masih dilihat antara produksi terbaik pernah mereka hasilkan.

Bagaimanapun, album ini juga membawa mereka kepada kritikan apabila ada yang melihat sentuhan mereka seolah cuba menerapkan sesuatu yang pernah dilakukan Coldplay dan Snow Patrol tetapi gagal memberikan impak.

Barangkali ada antara ciptaan terutama yang diilhamkan Gary Barlow tidak sehebat sentuhannya dulu namun The Circus masih punya kekuatan dan daya tarikan tersendiri.

Kata Hip:

MASIH lagi sebuah album yang menarik kerana ia memuatkan semua elemen yang diperlukan dalam produksi bermutu, namun pastinya The Circus akan berjaya membawa Take That mengumpul peminat baru.

ALBUM: Under The Radar
ARTIS: Daniel Powter
GENRE: Pop

BAD Day mengukuhkan nama Daniel Powter tiga tahun lalu malangnya album itu tidak bergerak pantas sebagai mana namanya memuncak menerusi lagu itu.

Atas alasan itu, Daniel mencari formula berbeza dan menerusi Under The Radar, dia cuba mempersembahkan dunia ciptaan yang jelas menonjolkan kelebihan bakatnya.

Malangnya, percubaan Daniel masih belum berhasil. Dia belum berjaya keluar daripada populariti Bad Day yang terus kuat menghantui pencinta muzik.

Mungkin kenangan menakjubkan yang cuba dicari Daniel sudah berlalu membuatkan produksi ketiganya ini kurang daya tarikan dan jiwa.

Agak mengecewakan kerana Under The Radar memiliki elemen yang diperlukan dalam sebuah album yang baik cuma Daniel belum mampu membebaskan diri daripada pengaruh populariti single terdahulu.

Sekali pun album ini ditangani komposer tersohor, Linda Perry, Daniel seolah-olah mendapat kebebasan untuk melakukan apa yang disukainya tanpa kawalan.

Lalu apa yang terzahir dalam Under The Radar adalah pengaruh Daniel yang semakin pudar, malah meletakkannya dalam situasi teraba-raba untuk meyakinkan diri dia masih punya bakat.

Tapi bukanlah bermakna Daniel terlalu teruk. Dia ada kelebihan dari segi vokal dan penulisan lagu yang memberi impak tetapi elemen itu seperti hilang dalam album ini.

Mungkin jika dia meletakkan lebih kesungguhan dan menumpukan kekuatan kepada vokal, album ini akan muncul lebih mengesankan.

Kata Hip:

KURANG memberi inspirasi, malah kebanyakan sentuhan mudah dilupakan dan Daniel perlu bekerja keras supaya tidak ditenggelami masa.

ALBUM: Keeps Gettin’ Better
ARTIS: Christina Aguilera
GENRE: Pop

MUNGKIN kemunculan Christina Aguilera tidak menerima limpahan publisiti seperti yang dikecapi teman seangkatannya, Britney Spears namun dia tetap berjaya mencipta pengaruhnya yang tersendiri.

Berbeza Britney yang lebih banyak dibicarakan berkaitan isu peribadinya, Christina pula mendaki populariti atas bakat serta kelebihan vokal yang dimilikinya.

Sedekad mencipta pengaruh, Christina melahirkan Keeps Gettin' Better yang mendokumentasikan kesemua lagu popularnya dalam tempoh itu.

Christina yang pernah melahirkan Dirrty, What A Girl Wants dan Candyman, cuba lari sedikit daripada kebiasaan kompilasi lagu hits yang hanya membariskan semula lagu terbaik pernah dibawakannya sebelum ini.

Album ini turut menampilkan dua trek rakaman terbaru iaitu Keeps Gettin’ Better dan Dynamite, selain memberikan sentuhan berbeza untuk lagu popularnya, Genie In A Bottle dan Beautiful.

Kedua lagu yang digubah semula itu juga memberikan peminatnya idea mengenai arah muzik yang ingin dibawa dalam album terbarunya nanti.

Dengan 16 lagu, turut diberikan bonus DVD lalu Keeps Gettin’ Better memberi petanda semangat baru kepada Christina untuk terus memberikan yang terbaik kepada peminatnya.

Kata Hip:

ALBUM yang lengkap menceritakan sejarah pembabitan nyanyian Christina bermula dari 1999 dengan himpunan lagu terbaik dengan vokal mengesankan.

0 comments: