CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, January 2, 2009

Orang lama perkuatkan ntv7



Terbaru, Zaini Ahmad juga kembali memantapkan deretan pengacara utama program The Breakfast Show bersama-sama Daphne Iking, Nazruddin Habibur Rahman, William Quah dan Joanne De Rezario.

Barisan baru program The Breakfast Show ini diperkenalkan kepada media dalam satu majlis istimewa di ibu negara, bulan lalu. Bagaimanapun Daphne tidak hadir atas masalah yang tak dapat dielak.

Saluran Ceria Anda berusaha keras memantapkan persembahan dengan program lebih menarik

SELEPAS tirai tahun 2008 dilabuhkan, kedatangan 2009 seperti dialu-alukan oleh ntv7 dengan penuh bersemangat apabila menampilkan wajah baru untuk program yang menjadi penanda aras stesen TV ini menerusi program The Breakfast Show.

Bermula 1 Januari lalu, program bual bicara kali ini bermula lebih awal iaitu jam 7 pagi dan bersiaran selama tiga jam. Selama tempoh itu, The Breakfast Show akan tampil dengan sajian lebih bermutu dari aspek penyampaian dan kandungannya.


Diimbas kembali, suatu ketika dulu ntv7 yang mula beroperasi sejak tahun 1998 pernah meniti zaman kegemilangan apabila dibarisi nama hebat seperti Wan Kamaruddin, Zaini Ahmad, Azlina Awang Had dan beberapa personaliti lain.


Bagaimanapun, sengat ntv7 mula hilang apabila seorang demi seorang meninggalkan stesen ini yang pernah menjulang nama mereka dalam dunia penyiaran. Pemergian mereka meninggalkan kesan bukan sedikit kepada ntv7, malah tidak keterlaluan dikatakan keputusan mereka menyebabkan stesen ini semakin hilang keceriaannya.

Oleh itu, lewat tahun 2008, Wan Kamaruddin yang cukup sinonim dengan tagline ‘Apa ke Jadahnya’ mengesahkan untuk kembali ke ntv7 untuk mengacarakan program Talian Hayat mulai 7 Januari.

Berlangsung dalam suasana yang sederhana, majlis ini turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif ntv7, Suridah Jalaluddin dan Pengurus Pengurusan Jenama Kumpulan ntv7, Emilya Ab Rahim.



Bagi Zaini yang mula menyertai ntv7 sejak Mac 1998 dan membuat keputusan meninggalkan stesen itu pada 2005, kepulangannya itu bukan sekadar satu ‘come back’ tetapi juga dapat menerapkan pengalamannya ketika bertugas di Special Broadcasting Services (SBS), di Australia.

“Masakan saya dapat lupakan tempat yang mula menaikkan nama saya. Bagai melepaskan rindu, saya bersemangat untuk mengacarakan program TBS. Bagi saya dalam apa juga kerja yang dilakukan atau di mana sekalipun kita bekerja, semuanya terpulang kepada kita untuk mencorakkannya menjadi lebih menarik dan mencabar.

“Corak kerja di Malaysia termasuklah mengacara berbeza dengan luar negara kerana di negara kita kita perlu peka kepada sensitiviti dan inilah yang membuatkan kerja kita lebih mencabar dan pada masa yang sama harus memberikan persembahan kerja yang baik,” katanya yang pernah diangkat sebagai wartawan komuniti terbaik susulan kedua-dua rancangan miliknya iaitu 7 Di Pihak Anda dan My Time Out.

Seperti Zaini, Joanne De Rezario juga meninggalkan kerjaya di ntv7 pada tahun 2003 dan mengembangkan kerjayanya sebagai penyelia penerbit di syarikat Channel (V) dan Star Channel.

“Dunia penyiaran memang sentiasa di hati saya, ia sentiasa menjadi keghairahan saya apatah lagi dapat kembali bertemu dengan rakan lama di ntv7. Bagi saya setiap produksi ataupun negara yang menerbitkan sesebuah program mempunyai kekuatan sendiri dan kita sebagai pekerja akan cuba untuk menyesuaikan diri,” kata Joanne.

Nazruddin atau Naz berharap pengalaman yang ada pada rakan pengacaranya seperti Zaini dan Joanne dapat membantu memperkuatkan lagi program TBS.

“Bekerja dengan orang lama memberi kita satu dimensi, idea dan pendekatan baru untuk sama-sama belajar dan berkongsi pengalaman,” katanya yang menyertai ntv7 sejak 2006.

Sasarkan 100,000 penonton

Program The Breakfast Show diterbitkan oleh dua penerbit kanan iaitu Intan Norbaizura dan Tengku Firhad Bustaman. Kata Firhad yang ditemui sejurus selepas sidang media, perubahan format dan kandungan bagi program ini tidak dilakukan secara drastik.

“Setiap jam program berlangsung mempunyai pecahan demografiknya. Bagi jam jam 7 hingga 8 pagi khusus untuk golongan profesional, 8 hingga 9 pagi (pelajar) manakala 9 hingga 10 pagi untuk suri rumah.

“Pemilihan lima pengacara utama ini seiring dengan kredibiliti dan pengalaman mereka. Program ini juga menggunakan 80 peratus bahasa Inggeris dan 20 peratus lagi bahasa Melayu,” katanya.

Menurut Firhad lagi, ketika ini rating The Breakfast Show mencecah 40 ribu penonton dan berharap untuk menaikkan hingga ke 100 ribu penonton pada 2009.

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

0 comments: