CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Thursday, January 1, 2009

Rejimen Temenggor pastikan persempadanan selamat


‘OH siou oh kamanang’. Bagi orang awam mungkin bahasa dan perkataan tersebut tidak dapat difahami, malah jauh sekali mendengar ungkapannya.

Namun, bagi kalangan anggota-anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), ia sesuatu yang lumrah. Malah, slogan ini juga amat digeruni oleh kalangan anggota-anggota Parti Komunis Malaya (PKM).

Perkataan tersebut sebenarnya berasal dari bahasa Kadazan yang membawa maksud ‘siapa berani, dia menang’. Slogan ini telah diguna oleh 2 Rejimen Ranjer Diraja (RRD) sejak penubuhan pasukan tersebut lagi.

Ia sebagai menyatakan semangat juang bersungguh-sungguh serta keberanian anggota-anggota 2 RRD dalam pertahanan keselamatan dan kedaulatan negara, sekali gus menjadikan ia antara pasukan yang disegani oleh pihak musuh.

Dengan slogan tersebut, tidak hairanlah 2 RRD berterusan diberi tanggungjawab dalam menjaga kawasan-kawasan strategik seperti di sempadan Perak - Thailand.

Persempadanan Perak - Thailand di bawah tanggungjawab 2 RRD ini dianggarkan sepanjang 125.9 kilometer yang turut meliputi kawasan Hutan Belum dan Temenggor.

Ia bukan sahaja sebuah kawasan amat luas dengan hutan hujan dan belantara yang tebal, malah bentuk muka buminya bergunung-ganang dan berbukit-bukau menjadikan kawasan berkenaan sukar sukar dikawal.

Malah, sejarah telah tercatat bahawa persempadanan Perak - Thailand sebelum ini memang dikenali sebagai kawasan persembunyian anggotaanggota pengganas PKM.

Walaupun, PKM telah menyerah kalah dan meletakkan senjata, namun ATM telah meletakkan pasukannya bagi mengawal kawasan tersebut. Kini, tanggungjawab itu terletak pada bahu 2 RRD.

Utusan Malaysia yang berkesempatan meninjau tugasan anggota-anggota 2 RRD di kawasan Temenggor dan Belum, berpeluang mewawancara Pegawai Memerintah 2 RRD Leftenan Kolonel Firdaus Quah, di Kem Banding, Perak baru-baru ini.

Menurutnya, ramai orang tidak mengetahui bahawa sebahagian besar kawasan Hutan Temenggor adalah di bawah kawalan ATM.

Sehubungan itu, kawasan rekreasi termasuk trekking bagi orang ramai hanya meliputi kawasan tertentu yang dibenarkan sahaja.

Kawasan di bawah kawalan 2 RRD dianggap tidak sesuai untuk treking atau aktiviti lain, kerana ia adalah kawasan larangan.

Firdaus berkata, antara tugasan 2 RRD ialah menghalang kemasukan anasir-anasir subversif.

“Memang negara kita kini aman dan tiada tentangan daripada pengganas PKM.

“Namun, kawalan keselamatan tetap diteruskan memandangkan apa jua kemungkinan boleh berlaku. Kita tidak boleh leka. Jika 2 RRD lalai dalam tugasannya, pasti negara ini akan dicerobohi pihak musuh,’’ katanya.

Tugasan lain 2 RRD antaranya, menjaga hasil-hasil hutan dan bumi kawasan terbabit dari dicerobohi mana-mana pihak terutama orang asing.

Memang kita ketahui kawasan Hutan Temenggor dan Belum, kaya dengan pelbagai hasil hutan dan bumi seperti kayu gaharu dan sebagainya.

Difahamkan, aktiviti memancing di kawasan kawalan 2 RRD juga dilarang walaupun kaya dengan pelbagai spesies ikan terutama kelah.

Aktiviti memancing hanya dibolehkan di kawasan tertentu yang dibenarkan kepada para pelancong.

Pasukan juga diberi tanggungjawab untuk mengawal aktiviti keluar masuk di kawasan tersebut dan akan membuat pemeriksaan apabila perlu terhadap mereka yang berada di situ.

Menurut Firdaus, kawalan di Hutan Temenggor dan Belum oleh 2 RRD juga bertujuan menghalang kemasukan pendatang asing.

“Memandangkan kawasan sempadan ini luas, pelbagai kemungkinan boleh berlaku seperti kemasukan pendatang asing,’’ katanya.

Di samping itu, kawasan kawalan 2 RRD itu juga memang dikenali kaya dengan hidupan liar seperti rusa, kijang, gajah, harimau dan sebagainya.

Tidak seperti tempat lain, kawasan kawalan 2 RRD di Hutan Temenggor dan Belum, dilarang sama sekali memburu, kata Firdaus.

“Kawalan kita juga bagi menghalang pemburu haram,’’ katanya.

Firdaus seterusnya berkata, pihaknya juga berperanan memberi bantuan dan perlindungan kepada para pelancong yang datang ke Royal Belum.

“Perlindungan ini termasuk kepada pihak-pihak yang menjalankan kajian atau penyelidikan saintifik, selain perlindungan keselamatan kepada pengusaha-pengusaha pelancong.

“Pada masa sama, kita juga memberi bantuan dan perlindungan kepada penduduk Orang Asli yang mendiami kawasan hutan di sini.

“Antara bantuan yang kita beri sama ada kepada Orang Asli mahupun pelancong ialah bantuan perubatan seperti dalam keadaan kecemasan dan sebagainya,’’ katanya.

Berikutan tugasan 2 RRD itu, tidak hairanlah apabila kem-kem tentera sering dikunjungi oleh penduduk Orang Asli yang memerlukan bantuan perubatan.

Secara langsung, keadaan ini telah mewujudkan hubungan baik antara ATM dan penduduk Orang Asli setempat.

“Kadangkala, ada penduduk Orang Asli yang meminta bantuan perubatan. Sama ada mereka datang sendiri ke kem berdekatan atau kita akan bawa mereka dengan bot untuk dapatkan rawatan termasuk dihantar ke hospital,’’ katanya.

Satu lagi tugasan berat 2 RRD di Hutan Temenggor dan Belum ialah membersihkan kawasan terbabit daripada sebarang jerangkap samar walaupun PKM telah lama meletakkan senjata.

“Setiap kali rondaan, kita akan pastikan kawasan terbabit bersih daripada jerangkap samar. Walaupun PKM telah lama menyerah kalah, namun kita khuatir terdapat saki baki jerangkap samar.

“Jika ada tanda-tanda terdapat jerangkap samar, kita akan hantar pasukan pembersih jerangkap samar,’’ katanya.

Tugas 2 RRD di hutan yang luas itu melibatkan beberapa lokasi dan mereka akan bergerak dan meronda dari semasa ke semasa.

Selain lokasi-lokasi tertentu di pedalaman, anggota-anggota 2 RRD itu juga ditugaskan di Pos X-Ray dan Pos Marker November.

Tugasan di kedua-dua pos ini dilakukan tanpa mengira waktu bagi memantau kemasukan orang awam ke kawasan berkenaan.

Malah, kawalan keselamatan di kedua-dua pos ini dijalankan sepanjang masa terutama pada waktu malam sebagai langkah berjaga-jaga memandangkan ia merupakan kawasan hidupan liar seperti harimau dan gajah.

Bagi anggota-anggota 2 RRD berkenaan, terserempak dengan haiwan liar seperti harimau dan gajah adalah perkara lumrah, namun lang- kah berhati-hati sentiasa dipraktikkan.

Selain itu, anggota-anggota 2 RRD di lokasi-lokasi pedalaman ini akan sentiasa meronda mengikut sektor yang ditugaskan.

Tempoh tugasan di kawasan hutan tersebut mengambil masa selama dua bulan sebelum digantikan oleh anggota-anggota lain.

Dalam tempoh tersebut, bekalan makanan akan dihantar menggunakan helikopter memandangkan melalui jalan darat ia terpaksa mengambil masa 10 hingga 12 hari untuk sampai ke sesebuah lokasi tugasan.

Cabaran bertambah sukar apabila tiba musim hujan pada bulan November, Disember dan Januari, di mana mereka bertugas dalam keadaan pakaian basah kuyup. Keadaan itu juga boleh menyebabkan mereka menghadapi masalah tapak kaki mengelupas yang teruk.

Kadangkala mereka juga keputusan bekalan makanan sehingga lebih seminggu kerana cuaca basah dan sejuk menyebabkan persekitaran gunung dan bukit-bukau di situ berkabus tebal. Ia menyukarkan pergerakan dan pendaratan helikopter untuk menghantar bekalan makanan.

Menurut Firdaus, walaupun kehabisan makanan pasukannya berkemahiran menggunakan sumber-sumber hutan sebagai gantian.

“Mereka ini telah dilatih survival. Mereka tetap menjalankan rondaan walaupun terpaksa menggunakan bekalan hutan sebagai makanan.’’

Firdaus menambah, anggota-anggota 2 RRD yang ditugaskan merupakan mereka yang terlatih dalam kemahiran bertempur.

“Mereka itu adalah anggota platun tempur bersesuaian dengan tugasan dan tanggungjawab serta kawasan yang dikawal,’’ katanya mengakhiri perbualan tersebut.

0 comments: