CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sunday, February 8, 2009

Erma bersedia ke Palestin



ERMA Fatima ketika berucap pada malam penutup Karnival Doa Buat Palestin di perkarangan Istana Budaya, baru-baru ini.

SEJAK memuncaknya keganasan rejim Zionis di Palestin bulan lalu, sana sini orang memperkatakan tentang kekejaman yang dilakukan oleh tangan-tangan tidak berperikemanusiaan itu.

Laungan amarah disuarakan dan pelbagai sumbangan dihulurkan demi menyatakan rasa simpati terhadap rakyat Palestin yang menderita di bumi sendiri.

Bagi Malaysia, meski hanyalah sebuah 'negara kerdil' dalam peta dunia, beberapa program dan tabung bantuan dianjurkan oleh pelbagai pihak yang kesemuanya menjurus kepada mengutip dana bagi membantu Palestin.

Solat hajat, ceramah, malam puisi, jualan dan lelongan amal serta program-program lain juga tidak terkecuali dilaksanakan untuk tujuan itu.

Di pentas seni pula, golongan selebriti tidak ketinggalan menghulur tangan dan bersama melahirkan keprihatinan mereka terhadap mangsa-mangsa kekejaman Israel.

Erma Fatima, contohnya, sebagai orang kuat dalam Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia, tidak terlepas dalam menganjurkan Karnival Doa Buat Palestin yang diadakan di perkarangan Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 1 hingga 2 Februari lalu.

Menghimpunkan puluhan selebriti, karnival tersebut berjaya mengumpul kutipan sumbangan hampir RM100,000 yang akan dihulurkan ke tabung bantuan Palestin, Wisma Putra.

"Kita telah merancang karnival ini sejak dua minggu lalu. Ia dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Istana Budaya.

"Saya amat berterima kasih kepada semua pihak dan terima kasih juga kepada barisan artis kerana walaupun tanpa bayaran, mereka tetap tampil membuat persembahan di pentas,'' katanya ketika ditemui pada majlis penutup Karnival Doa Buat Palestin.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani.

Karnival Doa Buat Palestin yang dihadiri lebih 10,000 orang pada kedua-dua hari itu menampilkan persembahan artis antaranya Datuk Siti Nurhaliza, Noryn Aziz, Rabbani, Siti Sarah, Dafi, Raihan, Kopratasa, Amy Search dan Maya Karin.

Daripada 100 buah gerai yang disediakan, beberapa artis seperti Linda Onn, Dr. Fazley, Julia Ziegler, Awal Ashari dan Dynaz tidak ketinggalan membuka gerai masing-masing.

Selain acara hiburan, karnival berkenaan tidak lupa menganjurkan solat hajat dan bacaan Yassin khusus mendoakan kesejahteraan Palestin.

Menyambung bicara, Erma berkata, melihatkan betapa semangatnya untuk membantu Palestin, Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia akan menubuhkan sebuah pasukan sukarelawan yang bakal dianggotai artis serta para doktor.

Ujarnya, pasukan itu menyerupai badan sukarelawan kebajikan lain dan akan turut bertindak membantu mangsa-mangsa bencana alam serta mangsa peperangan selain di Palestin.

"Sebenarnya, idea menubuhkan pasukan sukarelawan ini tercetus selepas saya tercabar dengan kata-kata Ketua Pegawai Eksekutif Celcom (Malaysia) Berhad, Datuk Seri Shazalli Ramly.

"Ketika berjumpa dengan beliau bagi mendapatkan penajaan, dia ada menyatakan rancangan untuk ke Palestin. Saya yang ada di situ nyatakan keinginan untuk ikut sama.

"Beliau turut menyoal mampukah artis untuk ikut sama membantu ke Palestin? Katanya, pergi ke Palestin bukannya suka-suka atau hendak mengambil gambar,'' jelasnya.

Menurut Erma, tercabar dengan kata-kata Shazalli, pihaknya merancang untuk menubuhkan pasukan sukarelawan dalam masa terdekat ini sebagai membuktikan bahawa golongan artis mampu menyumbang tenaga dalam menghulurkan bantuan kemanusiaan.

"Melalui pasukan ini, kita akan beri pelbagai latihan sehingga benar-benar bersedia untuk melaksanakan misi.

"Kita tidak mahu golongan artis dipandang sekadar penyeri sahaja. Kita akan persiapkan diri.

"Kalau ada orang kata saya sekadar berkata-kata sahaja hendak tubuhkan pasukan itu, saya akan buktikannya nanti,'' tegas Erma.

Mengenai Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia, Erma menjelaskan bahawa yayasan itu ditubuhkan adalah untuk berkhidmat kepada masyarakat.

"Kita bukannya hendak publisiti murahan. Apa yang kami lakukan menerusi yayasan adalah soal kemanusiaan.

"Seperkara lagi, yayasan saya ini tidak menjaga artis tetapi kami kumpul artis untuk laksanakan khidmat kemasyarakatan,'' tambahnya.

0 comments: