CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, March 7, 2009

Gementar diganggu makhluk halus



Misteri Nusantara 2009 didik penonton tidak mempercayai perkara tahyul, khurafat

TERSEREMPAK lembaga hitam di bilik hotel, selain badan ditindih ketika tidur hingga mengalami kesukaran bernafas antara pengalaman menakutkan pernah dilalui Penerbit Misteri Nusantara 2009, Mohd Naim Niamat, sepanjang pembabitannya dalam penerbitan dokumentari popular itu.

Beliau berkata, peristiwa yang masih segar dalam ingatannya itu berlaku di sebuah hotel di Narathiwat, Thailand sejurus selesai membuat liputan mengenai `Sami Batu’ untuk musim pertama dokumentari berkenaan, enam tahun lalu.

“Masuk saja dalam bilik hotel, saya terdengar dentuman kuat sebelum muncul lembaga hitam itu. Saya buat tidak tahu saja dan terus tidur. Ketika itulah, saya rasa badan seperti ditindih satu benda berat. Memang tidak boleh bergerak langsung, nafas pun sesak. Ketika itulah, saya teringat pesan orang tua-tua supaya gerakkan ibu jari kaki dan baca ayat Kursi. Alhamdulillah, benda itu pun hilang. Itulah ujian pertama saya alami ketika mula-mula bertugas untuk Misteri Nusantara,” katanya.

Naim memberitahu B*Pop, gangguan itu tidak hanya terhenti di Thailand, malah turut mengikutinya pulang ke tanah air hingga mengganggu kehidupannya sekeluarga, malah prestasi kerjanya juga terjejas.

“Bila balik rumah, anak saya yang baru lahir menangis tidak henti-henti terutama pada lewat malam. Ingatkan anak saya sakit lalu membawanya berubat dengan seorang tokoh agama. Dia memberitahu saya ada banyak benda yang `mengikut’ saya. Mulanya memang saya serik sehinggalah dipanggil semula untuk musim baru kali ini. Saya menerima tawaran itu atas dasar tanggungjawab mahu mendidik masyarakat supaya tidak mempercayai benda tahyul hingga menyekutukan Allah,” katanya.

Sepanjang bertugas di TV3, sudah banyak program dokumentari sudah diterbitkannya, namun beliau menganggap bertugas dengan Misteri Nusantara paling mencabar, malah tidak semua petugas di stesen televisyen itu sanggup bekerja untuk program berkenaan.

Malah, sebagai langkah keselamatan juga, katanya, tiada petugas wanita diambil untuk musim kali ini bagi mengelak sebarang gangguan seperti dialami dalam musim terdahulu, kecuali petugas wanita terbabit bersemangat kental seperti Mazlin Nordin.

“Jika program lain lebih kepada cabaran fizikal, kami pula lebih kepada cabaran mental. Kami tidak tahu apa yang akan berlaku, apa yang akan ditemui di lokasi liputan. Perasaan gentar dan takut tetap ada, namun tugas perlu diselesaikan. Sebab itulah, tidak ramai penerbit, wartawan dan krew sanggup bekerja untuk program ini. Contohnya, ada satu episod dalam musim kali ini memaparkan kisah pemburu hantu. Kami terpaksa `turun padang’ untuk melihat sendiri bagaimana tugas ini dilakukan,” katanya.

Naim berkata, bukan beliau saja pernah mengalami gangguan, malah sebahagian besar petugas produksi Misteri Nusantara 2009 pernah mengalami peristiwa pelik.

“Seorang petugas, Djaka Legawa nyaris disambar petir ketika membuat liputan Pokok Tara (tempat menguburkan bayi) di Sulawesi, Indonesia. Suasana yang pada mulanya tenang terus bertukar menjadi ribut sebaik dia membuka sebuah lubang berisi mayat bayi.

Malah, ketika melakukan penggambaran gong besar di Jawa Barat, tiba-tiba badannya dipegang dan bajunya ditarik sedangkan tiada sesiapa pun dalam gua itu kecuali krew. Lebih menghairankan, pemilik gong itu yang tinggal jauh dari lokasi penggambaran tahu mengenai kejadian itu,’” katanya.

Justeru, katanya, persediaan rapi akan dibuat oleh unit produksi sebelum ke lokasi, termasuk melakukan kajian mendalam terhadap sesuatu kisah yang bakal dipaparkan.

“Tidak boleh sesuka hati masuk sesuatu tempat. Biasanya, kami akan kaji dulu tahap `kekerasan’ sesebuah tempat. Kalau keras sangat. mesti ada orang yang berpengalaman dan pandai ilmu agama akan mengiringi sebagai langkah keselamatan. Kami pun bukanlah berani sangat!

“Sebenarnya, bukan mudah menerbitkan program ini. Banyak pantang larang perlu dijaga. Jangan buat kelakuan tidak senonoh, tidak boleh takbur dan perlu ada rasa hormat terhadap sesuatu tempat dikunjungi. Kita kena terima hakikat, ada makhluk lain selain manusia di muka bumi ini,” katanya.

Disiarkan setiap Jumaat, jam 9.30 malam, Misteri Nusantara 2009 yang diterbitkan sebanyak 13 episod, dengan penggambarannya berlangsung dari Julai hingga November lalu di Jakarta, Bandung dan Sulawesi menawarkan banyak keunikan berbanding dua musimnya sebelum ini.

“Kali ini, paparan kami lebih realistik... lebih banyak aksi di lokasi berbanding dulu yang lebih bertumpu kepada mitos dan legenda. Contohnya, cerita pemburu hantu yang saya katakan tadi. Penonton mungkin tidak nampak hantu tetapi dapat melihat pergerakan atau perbuatan makhluk itu,” katanya.

Naim berkata, segala bahan yang dipaparkan mempunyai fakta berdasarkan maklumat penduduk setempat, selain kajian di lokasi.

“Ini penting kerana selain menghiburkan penonton, kami tidak mahu lari dari matlamat asalnya memberi kesedaran dan mendidik masyarakat, bukan mempromosikan perkara khurafat. Tiada apa yang perlu ditakuti kecuali Allah. Cuma, kita mahu penonton percaya pada kewujudan alam ghaib,” katanya.

Selain Naim, turut terbabit dalam penerbitan Misteri Nusantara 2009 ialah Mazlin sebagai Penerbit Eksekutif, Djaka (Penerbit Bersama), Shahnun Haniff Abdullah Suhaimi (Penolong Penerbit), Saiful Hadi Ahmad dan Mohd Fairuz Mohd Aref (Pembantu Penerbit).

Manakala, Zainal Ariffin Ismail yang terkenal dengan taglinenya, `Usah biarkan hidup anda diselubungi misteri...’, masih dikekalkan sebagai pengacara program popular itu, yang siaran episod pertamanya pada 21 November lalu mencatatkan rating 1.3 juta penonton.

0 comments: