CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, March 7, 2009

Kapoww! kisah superhero derhaka

Sekitar penggambaran filem Kapoww!
Oleh Suzan Ahmad

KAPOWW! satu lagi sentuhan sutradara Azizi ‘Chunk’ Adnan yang juga berkonsep superhero sedang giat menjalani penggambaran sejak 15 Februari lalu. Filem yang menelan kos dianggarkan menghampiri angka RM2 juta ini adalah terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd.

Judul ini agak unik dan antara lain maksud Kapoww! ialah akronim kepada Kesatuan Antarabangsa Peringkat Olimpik Wira Wira, iaitu mengisahkan cerita ala Tanggang Anak Derhaka tetapi dalam format superhero.

“Sebenarnya, saya tidak bermaksud langsung untuk mengkhusus dalam filem berkonsep superhero cuma genre dan jalan cerita begitu yang saya minat. Saya akui cukup gemarkan elemen komedi ringan disulami kesan khas apatah lagi humor.



Antara krew yang bekerja keras di sebalik tabir Kapoww!

“Besar kemungkinan juga secara peribadi saya sendiri memang kartun, maklum sebelum ini pun saya pernah terbitkan siri kartun seperti Tuah dan Yokies,” kata pengarah filem fantasi, Antoo Fighter ketika ditemui B*Pop di lokasi penggambaran filem itu di Kampung Sawah Sempadan, Tanjung Karang, Selangor, baru-baru ini.

Lebih gemar dipanggil Chunk, dia mengakui sehingga kini Toy ‘R’ Us adalah gedung wajib yang harus dikunjungi setiap hujung minggu untuk mendapatkan apa barangan mainan berupa miniature untuk memenuhi hobinya.

“Pada dasarnya, anda boleh anggap saya macam orang dewasa yang berjiwa kanak-kanak. Koleksi patung miniature saya pun sudah mencecah lebih 600 semuanya, itu belum lagi kegemaran saya yang suka menonton cerita kartun serta melayan imaginasi kanak-kanak,” katanya yang turut sibuk dengan produksi bersiri seperti Spa Q dan Awan Dania.

Berbanding Antoo Fighter, pendekatan Chunk terhadap Kapoww! berbeza. Jika Antoo Fighter lebih kepada fantasi yang sarat teknik janaan imej berkomputer (CGI) dan agak merapu, Kapoww! pula sarat dengan komedi tetapi masih merapu, selain CGI tetapi disuntik dengan emosi dan drama yang menyentuh perasaan.

“Kami cuba tonjolkan emosi menerusi hubungan emak dan anak kerana tanpa elemen itu ia jadi kosong dan sekadar hiburan semata-mata. Misi saya di sini ialah biarpun ia ada humor tetapi masih mampu membuat hingus penonton meleleh, jika itu berlaku maka misi ini tercapai,” kata Chunk.

Menyentuh soal barisan aktor yang dipilih, Chunk berkeyakinan kombinasi kali ini adalah yang paling seimbang dan sempurna pernah dikumpulkan.

Lokasi penggambaran Kapoww! di Tanjung Karang.

“Tidak banyak yang perlu saya ganggu dari segi lakonan, kerana boleh dikatakan mereka cukup profesional dalam bidang masing-masing. Ada yang dikenali kerana watak komedi dan ada yang bukan, namun masih terkandung sedikit elemen komedi dalam diri mereka yang berjaya disalurkan secara semula jadi.” katanya yang mengakui inilah filem paling mahal pernah diarahkannya.

Watak lakonan Sofi Jikan misalnya, walaupun memegang watak antagonis, gemar berpuisi dengan bahasa yang cukup tinggi, punya wawasan tetapi akal pendek. Lain pula dengan protagonis yang dibawa Zizan lebih banyak reaksi berbanding vokal.

“Pelbagai variasi dari segi lakonan, lawak tongong, lawak cerdik dan lawak yang perlu untuk kita berfikir turut terkandung dalam filem ini. Kesan khas juga rumit kerana banyak aksi terbang, bertempur sehingga langit jadi merah, keluar naga kepala tiga dan semua ini akan dibuat di Putrajaya,” jelasnya yang menjadikan siri kartun Dungeon’s & Dragons dan Dragon Heart sebagai panduan teknikal.

Kesimpulannya, kelainan yang jarang wujud dalam filem lain tetapi ada dalam filem superhero arahannya adalah satira atau kritikan sosial yang memerlukan penonton berfikir sedikit.

“Walaupun komedi, ada sesuatu yang ingin saya sampaikan dalam cara lembut, tidak kiralah sama ada ia kritikan sosial mahupun politik. Saya sekadar menterjemah dan mempersembahkan dalam bentuk hiburan,” kata Chunk.

Kapoww! berkisarkan Atoi (Zizan) budak kampung yang terlalu obses menjadi superhero serta disokong kawan baiknya, Abu (Bell). Suatu hari, ketika Atoi hendak mengambil kerbau, dia disambar petir. Akibatnya dia mendapat kekuatan luar biasa seperti kelajuan cahaya, tangan dengan kuasa elektrik, pandangan seperti X-Ray dan pendengaran yang tajam. Kekuatan Atoi melayakkannya menyertai Kapoww!.

Namun, sayangnya kekuatan luar biasa itu membuatkan dia mula lupa diri dan keluarga. Akhirnya ibunya mengenakan sumpahan terhadapnya dan Atoi kehilangan kuasa luar biasa.

Info filem
Judul: Kapoww!
Pengarah: Azizi ‘Chunk’ Adnan
Genre: Aksi/ komedi/drama
Pelakon: Zizan (Raja Lawak), Lisa Surihani, Sofi Jikan, Khir Rahman, Awie, Kuman, Bell Ngasri, Rosnah Mat Aris,
Pengarah Fotografi: Helmi
Skrip: Azizi ‘Chunk’ Adnan
Lokasi: Kuala Lumpur, Putrajaya dan Tanjung Karang
Bajet: Hampir RM2 juta
Jangka Tayang: Musim Aidilfitri.

0 comments: