CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, March 7, 2009

Pengarah, pelakon cirit birit di lokasi filem 'hantu'

Oleh Hardi Effendi Yaacob

Lisa Surihani selepas dirasuk.

"GANGGUAN dialami sepanjang penggambaran filem ini boleh tahan juga walaupun ia tidaklah sehebat ketika saya mengarahkan Jangan Pandang Belakang (JPB) sebelum ini," demikian kata pengarah terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nazri mengenai pembikinan filem terbarunya, Jangan Pandang Belakang Congkak.

Ketika dihubungi B*Pop baru-baru ini, beliau turut menyatakan rasa syukur apabila penggambaran filem itu berjalan lancar, malah berjaya disiapkan dalam tempoh 25 hari seperti dirancangkan, bermula 23 November hingga 25 Disember lalu.

“Jika Jangan Pandang Belakang dulu ramai pelakon wanita diganggu makhluk halus hingga diserang histeria, dengan seorang stuntman terjatuh dan terbunuh, penggambaran kali ini tidaklah teruk sangat diganggu walaupun beberapa lokasi dikenal pasti `keras’. Ini mungkin disebabkan persediaan sudah dibuat berdasarkan pengalaman lalu, termasuk mengetahui tertib masuk ke sesuatu tempat. Yang penting, pembukaan mesti ada doa selamat. Percaya atau tidak, itu soal lain tetapi rasionalnya setiap tempat itu ada `penghuninya’ dan perlu dihormati,” katanya.

Bagaimanapun, Idham tidak dapat melupakan pengalamannya mengalami cirit birit yang teruk, begitu juga pelakon utama lain hingga mengganggu sedikit jadual penggambaran.



“Yang menghairankan, cuma saya dan pelakon saja kena cirit birit, manakala krew semuanya sihat. Padahal, kami sama-sama menikmati hidangan yang disediakan. Sampai sekarang saya masih tertanya-tanya kenapa, mengapa dan bagaimana kejadian itu boleh berlaku.

Namun, saya tidak pasti sama ada ini gangguan pelik atau tidak. Bergantunglah kepada orang ramai untuk membuat tafsiran mereka,” katanya.

Walaupun sudah mengarahkan pelbagai versi filem komedi sebelum ini, namun beliau menganggapnya tugasnya mengarahkan Jangan Pandang Belakang Congkak terbitan bersama MIG Productions dan Excellent Pictures cukup berat.

Malah, beliau menganggap tugas itu lebih mencabar berbanding pengalamannya mengarahkan Senario The Movie - Episode One, selain Mr Cinderella, Tentang Bulan, Tipah Tertipu dan Brainscan yang mewakili genre komedi romantik, komedi kanak-kanak serta road comedy sebelum ini.

“Biasanya, kalau arah filem berat yang jadi berat, inilah cerita komedi jadi berat. Ada banyak faktor di sebalik senario ini, termasuklah percubaan saya membuat pembaharuan dengan memperkenalkan genre seram komedi, yang pertama kali seumpamanya dilakukan di negara ini.

“Dari segi pencahayaan, set dan props, memang filem ini membangkitkan unsur seram seperti JPB dan Congkak. Cuma, di setiap penghujung adegan, ada unsur komedi ditampilkan... saya cuba mengadunkan kedua-dua unsur ini untuk mencari satu kelainan,” katanya.

Beliau turut menafikan cuba mencedok konsep filem `spoof’, trend penerbitan filem yang cukup popular di Hollywood, lebih-lebih lagi dengan kemunculan filem seperti Scary Movie yang mendapat sambutan di seluruh dunia.

“Jangan Pandang Belakang Congkak dan Scary Movie menampilkan genre berbeza. Scary Movie menggabungkan petikan adegan filem seram dan komedi popular sebelum ini dalam satu filem. Manakala, filem saya filem baru, menggunakan skrip baru berdasarkan idea original pengkaryanya.

“Biarpun judulnya menggunakan judul dua filem yang pernah ditayangkan sebelum ini, namun jalan ceritanya tidak ada kena mengena langsung. Malah, tidak akan ada langsung adegan dari kedua-dua filem itu,” katanya.

Selain gimik mahu menarik perhatian penonton ke pawagam, penggabungan dua judul filem seram terlarisnya itu, katanya, pemilihan judul berkenaan juga sebagai perlambangan bagi menarik penonton membongkar misteri filem berkenaan.

“Bukan suka-suka kami menggunakan judul itu, sebaliknya memang ada kena mengena dengan jalan ceritanya. Ia sebagai perlambangan misteri di sebalik congkak itu. Ada sebab mengapa tidak boleh melihat di belakang congkak itu.

“Jika mahu mengetahui apakah misteri itu, jangan lupa menantikan kemunculan filem ini di pawagam di seluruh negara suku kedua tahun ini. Jika Jangan Pandang Belakang Congkak dapat ditayangkan pada Hari Raya Puasa, itu sudah dianggap satu bonus,” katanya.

Idham berkata, Jangan Pandang Belakang Congkak yang menjalani penggambaran di Kuala Lumpur dan sekitar Kangar, Perlis termasuk Gua Kelam, Wang Kelian, Bukit Air dan Gua Cenderawasih turut mencipta sejarah tersendiri apabila membabitkan jumlah pelakon utama teramai iaitu 16 orang.

“Bila unsur seram komedi diadunkan, memang banyak perkara di luar jangkaan. Saya cuba menggabungkan aksi lawak dari tiga era iaitu Lan Pet Pet, Cat Farish dan Sam Shahiezy, sekali gus menjadi penyampaiannya lebih santai dan menghiburkan,” katanya.

Filem yang membabitkan bajet RM1.8 juta turut menampilkan pelakon Lisa Surihani, Den Wahab, Pet, Azlee Jaafar, Zarina Zainoordin, Dina (Malaysian Idol) dan Mas Muharni, bakat baru yang pertama kali diketengahkan dalam filem Wayang arahan Profesor Dr Hatta Azad Khan sebelum ini.

Ia mengisahkan tiga bersaudara yang cuba merungkai rahsia arwah datuk mereka yang boleh hidup lama sehingga mencecah usia 100 tahun. Namun, mereka tidak mengetahui arwah mengamalkan ilmu hitam, termasuk membela saka hingga menyukarkan detik kematiannya.

Sebelum menghembuskan nafas terakhir, arwah sempat menulis wasiat tanpa mereka mengetahui wasiat itu adalah untuk mewarisi setiap saka belaannya.

0 comments: