CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, March 7, 2009

Rozita bawa watak DSP Zita

AKHIRNYA aktres jelita yang sentiasa dihambat kontroversi, Rozita Che Wan berpeluang menyarungkan pakaian seragam anggota polis berpangkat, Deputi Superintendan (DSP) apabila dia hadir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, 17 Januari lalu apabila terbabit dengan penggambaran drama bersiri kepolisan musim baru, Gerak Khas terbitan Skop Productions selepas hampir dua bulan dia dikatakan bermain tarik tali dengan penerbitnya, Datuk Yusof Haslam hingga dia dituduh mungkir janji.

Rozita yang diberi watak sebagai DSP Zita sebelum ini didakwa gagal memberikan kerjasama kepada produksi berhubung tarikh penggambarannya sehingga menimbulkan kesukaran kepada krew terbabit sekalipun dia sudah menandatangani kontrak sebagai tanda persetujuannya menjadi salah seorang warga baru Skop Productions. Yusof pula dikhabarkan kecewa dengan sikap berdolak dalik Rozita mengenai tarikh penggambaran itu.

Pun begitu, segala persoalan yang mendakwa Rita mungkin janji akhirnya terlerai apabila dia hadir penggambaran hari pertama bersama warga kerja Gerak Khas, Sabtu lalu. Dia juga sudah memberikan beberapa tarikh yang bersesuaian sepanjang Januari ini untuk membolehkannya menjayakan penggambaran drama bersiri yang sudah 10 tahun bersiaran menerusi RTM itu.

Ini disebabkan jadual penggambaran Rozita begitu padat sepanjang suku pertama tahun ini, justeru dia harus bijak mengatur masa penggambaran supaya tidak bertembung dengan jadual Gerak Khas. Terbaru, Rozita sedang sibuk menjalani penggambaran telefilem, Rahsia Gambar arahan M Hitler yang dijadualkan mengisi slot Cerekarama TV3, tidak lama lagi.

“Alhamdulillah, saya sudah pun berpeluang menyarung pakaian seragam sebagai DSP Zita dalam Gerak Khas. Apa yang berlaku sebelum ini sekadar salah faham dengan Skop Productions. Saya tidak pernah mungkin janji dengan mereka, lebih-lebih lagi saya sudah pun menandatangani kontrak seperti yang diminta Datuk Yusof.

“Hubungan saya dengan Datuk Yusof bersama krew Gerak Khas tidak berdepan sebarang masalah sekalipun ada dakwaan sebelum ini yang mengatakan hubungan saya dengan mereka, dingin. Lebih penting, kali pertama saya bekerja dengan Skop Productions dan keluarga Gerak Khas, Datuk Yusof sendiri bertindak sebagai pengarah, saya rasa bangga!,” kata Rozita bersungguh-sungguh.

Sekalipun baru hari pertama, Rozita ‘dilenjan’ menjalani penggambaran sejak awal pagi hingga lewat malam, sekali gus terpaksa menahan panas dalam pakaian seragam polisnya.

“Datuk kata, itu baru sikit, belum lagi saya perlu menjalani penggambaran di lokasi luar dengan aksi kejar mengejar dan tembak menembak. Baru saja shooting di IPK, menitis peluh dibuatnya! Tapi, saya seronok bekerja dengan Skop Productions. Sekurang-kurangnya hasrat saya tercapai nak pakai uniform polis selepas tidak berpeluang mengenakannya dalam filem Sifu & Tongga.

“Kini, apa yang saya harapkan saya dapat menjalani kehidupan peribadi dan bekerja lebih aman sepanjang 2009. Tidak lagi dibebani dengan pelbagai kontroversi dan gosip liar,” kata Rozita yang baru-baru ini menyelar dan membidas golongan VIP dan VVIP yang gemar ‘membeli’ artis cantik menerusi surat terbukanya kepada sebuah akhbar tabloid mingguan.

Rozita juga tidak lama lagi akan membintangi filem terbarunya, Dimensi Cinta dan jika segala urusan berjalan lancar, dia dijadualkan berlakon di samping artis remaja yang pernah dihambat kontroversi kerana kes khalwat, Memey Suhaiza.

0 comments: