CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Tuesday, June 9, 2009

Rabbani tak duduk diam

Anjur Summer Camp tarik pelajar dekati Tuhan mulai 11 Jun hingga 13 Jun di Nur Lembah Pangsun

NAMPAKNYA kumpulan nasyid Rabbani tidak betah duduk diam tanpa melakukan sebarang aktiviti bermanfaat. Seiring dengan label jenama kumpulan ini yang sudah berlanjutan ke usia 12 tahun, Rabbani bukan nama asing yang terus merancakkan diari kehidupan dengan memenuhi undangan membuat persembahan di dalam mahupun luar negara.

Malah, Rabbani turut terbabit dalam program motivasi yang bersifat ilmiah hingga mendapat sambutan menggalakkan di kalangan pelajar dan golongan korporat. Seperti tahun sebelumnya, penganjuran Summer Camp bersama kumpulan nasyid popular ini mendapat maklum balas positif.

Saban tahun ia dianjurkan, program yang bermatlamat menarik minat masyarakat khususnya pelajar untuk mendekati Tuhan dan membina peribadi unggul di samping dapat mengisi masa lapang mereka sepanjang musim cuti persekolahan sekarang iaitu pada 11, 12, dan 13 Jun ini.

Pelbagai aktiviti bakal diatur seperti kuliah motivasi, cinta alam sekitar, senamrobik, qiamulail, bengkel kemahiran belajar, aktiviti berkumpulan dan malam kesenian Islam. Program yang akan diadakan selama tiga hari dua malam di Nur Lembah Pangsun, Hulu Langat, Selangor ini dikenakan yuran RM270 dan ia merangkumi penginapan, makanan dan bahan aktiviti.

Penyertaan ini dibuka kepada pelajar yang berumur dalam lingkungan 7 hingga 15 tahun. Kepada sesiapa yang berminat sila hubungi wakil Rabbani Productions Sdn Bhd di talian 03-62721225 atau 019-6161692 (boleh bercakap dengan Azrul Aswad Abdul Karim). Tempat yang disediakan adalah terhad.

Pada masa sama, kumpulan yang terus memahat nama dalam sejarah penganjuran Anugerah Bintang Popular Berita Harian menerusi Artis Nasyid Popular tidak lupa untuk terus beramal walaupun sibuk melunaskan jemputan persembahan dan menguruskan syarikat yang kian berkembang maju.

Pada 12 Julai pula, Rabbani dengan kerjasama Maahad Tahfiz Darul Furqan akan menganjurkan program Makan Malam Amal Bersama Rabbani di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya. Program makan malam amal ini dianjurkan dengan satu harapan bagi mengumpul dana untuk pembangunan dan pendidikan Maahad Tahfiz Darul Furqan.

Pemilihan sekolah di Padang Balang itu dilihat bertepatan kerana ia banyak melahirkan pelajar yang berjaya bukan saja dalam bidang keagamaan, malah dalam bidang akademik.

“Rabbani amat berbesar hati dapat memberi sumbangan dalam menjayakan program amal seumpama ini. Ia bukan saja dapat membantu meningkatkan taraf pendidikan agama bahkan sumbangan itu diharap bakal menjadi saham di akhirat kelak yang tidak ternilai harganya.

“Oleh itu, saya mewakili ahli kumpulan lain menyeru kepada dermawan untuk menyumbang kepada tabung dana pembangunan dan pendidikan sekolah ini,” ujar Ustaz Mohamad Asri Ibrahim selaku ketua kumpulan Rabbani yang kini sedang mengerjakan umrah di Tanah Suci Makkah bersama Ar Raziq Travel & Tours Sdn Bhd.

Program kali ini bakal menghidangkan tetamu dengan persembahan berunsurkan pendidikan dan mesej positif dalam hiburan melalui bacaan al-Quran, alunan nasyid dan pantomin. Ia pastinya akan meninggalkan kesan yang begitu mendalam bagi yang menghadirinya.

Pas masuk boleh didapati dengan harga RM50, RM150, RM300 dan RM500. Bagi sesiapa yang berminat bolehlah menghubungi Ustaz Adha di talian 013-2556361.

0 comments: