CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Tuesday, June 9, 2009

Santau taruhan terbaru MIG

Penggambaran sekitar Lembah Klang bermula hari ini, babitkan belanja RM1.5 juta termasuk kos promosi

ATAS kejayaan trek rekod pencapaian dan sambutan menggalakkan daripada filem terdahulu yang bergenre seram, Metrowealth (MIG) terus yakin untuk menerbitkan lagi wadah filem menggunakan pendekatan sama.

Selepas kejayaan membanggakan menerusi filem Jangan Pandang Belakang dan Congkak, MIG kini mempertaruhkan filem menggunakan judul Santau.

Satu majlis kesyukuran dan doa selamat filem itu yang menjadi rutin produksi MIG sebelum memulakan sebarang penggambaran diadakan pada 2 Jun lalu di pejabat milik penerbit terkenal David Teo di Regalia Business Centre, Subang Jaya.


Sebelum memulakan bicara, David sambil berseloroh memohon maaf kepada rakan media kerana terlalu banyak menyusahkan golongan kreatif ini dek kekerapan pihaknya mengundang wartawan untuk membuat liputan majlis berkaitan MIG.

Tidak dinafikan kebelakangan ini saja MIG memang acap kali mengundang wartawan untuk menghebahkan projek terbaru. Umum juga tahu, ia memberi penanda MIG begitu aktif menerbitkan drama, telefilem dan filem dalam masa terdekat ini.

Maklumlah, MIG mula merancang strategi yang cukup berjaya untuk menyiarkan hasil karyanya di stesen TV dan pawagam. Filem Syurga Cinta yang mula ditayangkan sejak 21 Mei lalu sebagai contohnya sudah mengumpul kutipan pecah panggung sebanyak RM2.1 juta selepas 11 hari tayangan.

David bangga kerana filem Syurga Cinta mencatat kutipan memberangsangkan dan mendapat komen positif daripada rakan media termasuk blogger. Malah, filem lakonan Awal Ashaari dan Heliza itu menjadi filem komedi romantik yang mendapat kutipan tertinggi setakat ini dalam sejarah penerbitan filem terbitan syarikatnya.

“Kejayaan ini takkan datang tanpa sokongan media yang selama ini tak putus memberikan sokongan kepada MIG. Harapnya sambutan yang baik juga akan menyebelahi filem Jangan Pandang Belakang Congkak selepas ini. Mengenai kekerapan MIG menjemput media kebelakangan ini, satu perkara yang saya boleh katakan dan berjanji ialah setiap liputan dibuat adalah berbeza,” katanya.

Berbalik kepada filem Santau, pengarah Azhari Zain atau lebih dikenali sebagai Zack diberi mandat dan kepercayaan buat julung kalinya untuk mengarahkan filem terbabit. Pada masa sama, Zack juga turut menjadi penulis skrip filem itu. Penggambaran bakal dilakukan di sekitar Lembah Klang bermula 8 Jun dan dijangka membabitkan belanja RM1.5 juta termasuk kos promosi. Seperti kebiasaan dalam filem seram MIG sebelum ini, Santau juga akan menggunakan sistem bunyi Dolby Digital Surround EX.

Pemilihan Zack dilakukan atas komitmen dan pengalaman yang ditimbanya sejak sekian lama termasuklah sewaktu menjadi pembantu pengarah di bawah filem arahan Prof A Razak Mohaideen dan terbitan MIG. Menurut David, dia mula mengenali Zack sejak 2001 ketika menjadi pembantu pengarah bagi filem Anak Mami.

“Saya pilih dia berdasarkan sikap, pengalaman dan latar belakang dimilikinya selama ini. Dia pernah beberapa kali menjadi pembantu pengarah dan pelakon cameo dalam filem arahan MIG. Dia juga mempunyai taraf pendidikan dalam Sarjana Pengarahan Filem dan TV dari Australia sejak akhir 2001. Dia kini juga bergelar pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam,” kata David.

Mengenai pemilihan pelakon utama filem Santau, David menggandingkan pelakon Esma Daniel dan seorang pelakon baru iaitu pemenang kategori lakonan, World Championship of Performing Arts (WCOPA), Putri Mardiana. Formula David menggunakan pelakon pelapis dan lama bukanlah sesuatu yang asing dalam setiap filemnya terutama dalam filem seram.

Sebagai contoh filem Jangan Tegur, Julia Ziegler diberi peranan utama buat pertama kali dalam filem dilakonkannya. Begitu juga Intan Ladyana dalam filem Jangan Pandang Belakang. Malah untuk filem Congkak, pelakon yang sudah lama membina nama, Nanu Baharudin dan Riezman Khuzaimi diberi kepercayaan sebagai teraju utama.

“Jika kita tidak berani mempertaruhkan wajah baru mahupun yang kurang popular di filem, sampai bila asyik wajah yang sama saja mendominasi layar perak. Setidak-tidaknya, kita memberi suntikan segar dan mengambil angin baru dalam setiap filem baru. Ikutkan trek filem seram yang diterbitkan MIG sebelum ini, kita tidak pernah mengambil khidmat pelakon yang sedia popular dan meletup.

“Saya tidak boleh nafikan pelakon turut memberikan tarikan magnet untuk menarik penonton ke pawagam. Tapi jika ia tidak diseimbangkan dengan plot cerita, skrip dan corak pengarahan yang bermutu, tiada guna juga akhirnya. Seperti Putri Mardiana sejak melihat kemampuan dia ketika bertanding dalam pertandingan WCOPA di Istana Budaya, saya berasakan dia mempunyai bakat yang bagus. Dengan pendedahan baik, siapa tahu dia mungkin boleh menjadi pelakon yang terkenal,” kata David mengakhiri perbualan.

Sementara itu, Putri Mardiana Zainal Abidin, 28, yang ditemui Hip berkata pengalaman bakal dititip berlakon dalam filem Santau dapat menjadi latihan penting baginya dalam memantapkan usaha jitunya sebelum menjejaki Los Angeles, Hollywood Julai ini bagi peringkat kemuncak WCOPA.

Tidak mempunyai pengalaman dalam bidang seni, apa yang dilakukan anak kelahiran Kuala Lumpur ini diiringi dengan minat mendalam terhadap bidang lakonan. Pembabitannya dalam WCOPA pun berlaku tanpa dirancang selepas menyertai uji bakat lakonan bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan tiba-tiba pihak itu menghubunginya untuk disaring menyertai WCOPA.

“Tawaran berlakon filem ini datang secara kebetulan apabila David Teo menyuruh saya datang ke pejabatnya dua minggu lalu. Alhamdulillah, akhirnya saya ditawarkan berlakon dan diberi kepercayaan memegang watak utama. Saya tahu menerima tawaran ini ibarat mengambil satu risiko yang besar kepada MIG dan diri saya sendiri. Namun, atas dasar mencuba dan nasihat keluarga dan insan tersayang, saya terima cabaran ini.

“Sebagai orang baru, saya sudah bersedia untuk menerima sebarang kritikan apatah lagi dimarahi pengarah. Namun, sebelum semua itu berlaku, saya harus melakukan sebaik mungkin supaya tidak terlalu berasa ralat. Atas sokongan suami dan anak juga, saya memberanikan diri untuk menempuhi perjalanan yang baru saja bermula ini,” kata ibu kepada tiga orang anak yang baru saja mengikat kontrak di bawah naungan MIG.

Seperti judul filem sulung lakonannya, dia yang mesra dengan panggilan Nina memberitahu pernah dua kali mengalami pengalaman disantau. Kebetulan juga watak yang dipegangnya seperti ditulis dalam sinopsis filem itu turut menggunakan nama Nina.

“Saya pernah disantau ketika berusia 19 dan 22 tahun. Pengalaman perit itu sedikit sebanyak dapat membantu saya menghayati watak dalam filem ini. Saya pernah muntah darah yang teruk di sebuah pusat beli-belah dan pernah secara tiba-tiba di atas tapak tangan saya ada sebuah kain bunjut berisi rambut, jarum dan kulit babi. Malah, ketika itu, saya juga cepat baran. Saya tahu siapa yang melakukan semua itu, tapi biarlah hanya Tuhan saja membalasnya,” katanya yang tidak mahu mengenang lagi episod duka itu.

Sumber : Berita Harian

0 comments: