CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Tuesday, June 9, 2009

Tanpa cinta di hati

Percutian 2 minggu Linda Onn ke London, Paris, Rome dan Barcelona hanya ditemani kakak, anak saudara

KALI terakhir penyampai radio Sinar FM, Linda Onn mengambil cuti panjang ialah pada April tahun lalu. Ketika itu, si pengusaha restoran My Mom's Chicken Rice dan My Asam Pedas Shop mengerjakan ibadat umrah.

Namun, berbeza sejak 9 hingga 23 Mei lalu, Linda memilih untuk bercuti di empat lokasi serentak. Bermula dari kota London, Linda ke Paris dan seterusnya ke Rome, Itali sebelum ke lokasi terakhir iaitu Barcelona, Sepanyol.

Dalam empat lokasi percutian indah itu, Barcelona adalah kali pertama yang dijejakinya. Linda tidak keseorangan, malah ditemani kakak tersayang, Intan, anak saudara, Shazreen dan saudara biras, Yatie.

Percutian ini menjadi ruang untuk si tinggi lampai ini ‘membalas dendam’ menjauhkan diri daripada kesibukan kota di samping menenangkan fikiran selepas penat mencari rezeki.

Kata Linda, setiap tahun dia akan memperuntukkan waktu berkualiti untuk berehat sebaik mungkin. Paling mengejutkan, Linda bercuti sebagai orang single tanpa cinta di hati.

Seboleh mungkin, Hip tidak mahu keterlaluan berbicara soal peribadi apatah lagi kisah yang ingin dikongsi kali ini adalah mengenai kisah percutiannya. Gambar yang disiarkan ini datang daripada keizinan Linda sendiri yang sudi berkongsi momen indahnya menerusi gambar yang dirakamkan.

Enggan dibiar tergantung, terdetik di hati Hip bertanyakan apa sudah jadi dengan hubungannya dengan lelaki Inggeris, James Gibbs yang pernah dipukul canang awal tahun ini.

Sengaja mengusiknya, Hip ajukan soalan sama ada dia sempat membeli barangan persiapan untuk perkahwinannya. Apatah lagi, kisah Linda menghadiri kursus kahwin turut tersebar luas memberi petanda Linda sebenarnya sudah bersedia untuk menamatkan zaman anak dara. Bagaimanapun, pintasnya cepat, dia tidak berbuat demikian, sebaliknya hanya membeli barangan untuk koleksi peribadi dan cenderahati tanda kenang-kenangan buat keluarga dan taulan.

“Insya-Allah, Linda akan ke arah itu tapi belum tahu lagi bilakah waktu itu (berkahwin) bakal menjelma. Linda tak fikir soal kahwin lagi dengan James. Apa yang boleh dikatakan, Linda sudah kembali solo. Tak ada maknanya Linda beli barang kahwin. Soal perasaan tidak boleh nak cakap dan tidak boleh dipaksa,” kata Linda seakan memberi gambaran jelas bahawa dia sini sudah tiada apa-apa dengan James.

Memahami keadaan hati yang dialami pemilik nama penuh Rozlindah Onn ini, Hip kembali menyingkap kisah percutiannya yang terbantut seketika gara-gara kisah peribadi itu. Selama dua minggu Linda bercuti sakan, Linda paling lama bercuti di Barcelona. Oleh kerana Linda sudah pernah ke Paris, Rome dan London, maka dia yang diberi tanggungjawab memikul jawatan segera sebagai pemandu pelancong.

“Kakak Linda dan yang lain tak perlu bersusah payah melihat atau merujuk peta kerana pengalaman ke sana sebelum ini membuatkan Linda yang perlu diharapkan. Kenderaan awam di sana pun senang dan memudahkan kami untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat.

“Kami tak ketinggalan tempat menarik dan bersejarah seperti Colliseum di Itali dan Menara Eiffel di Paris. Linda juga akan pastikan untuk menjejakkan kaki ke setiap Hard Rock Cafe di setiap negara yang dilawati dan tak lupa membeli pengetuk dram di premis hiburan itu. Setakat ini, Linda sudah mengumpul koleksi pengetuk dram dari Tokyo, London, Sepanyol dan Rome.

“Cuma di Barcelona, Linda tak boleh diharap sangat. Kami kena sama-sama melihat peta dan bertanya jalan. Percutian kali ini memang cukup nikmat kerana bayangkan dalam tempoh dua minggu, Linda dapat pergi ke empat destinasi terkenal dunia.

“Paling menggembirakan, Linda seronok apabila yang lain seronok dengan percutian ini. Biar penat sekalipun hingga kaki melecet kerana berjalan, ia bukan alasan,” kata Linda yang mengakui tidurnya kini agak terganggu gara-gara perbezaan waktu Malaysia dan negara yang dilawatinya.

Menurut Linda yang pernah menyandang gelaran Penyampai Radio Wanita Popular, Anugerah Berita Harian Bintang Popular, sepanjang pengamatannya ketika bercuti, dia paling tertarik berkongsi cerita mengenai perlawanan lembu (bull fighting) dan rentak tarian flamenco. Kedua-duanya boleh didapati di Barcelona. Namun kata Linda, kalau diberi peluang untuk menonton sekali lagi perlawanan lembu itu, dia pasti akan menolaknya dengan baik.

“Memang ngeri melihat lembu kena tikam, malah Linda tak sanggup untuk melihat ‘kekejaman’ itu biarpun di Barcelona ia dianggap sebagai budaya dan sesuatu perkara normal. Rasa nak termuntah pun ada juga. Kasihan Linda lihat lembu itu dikaburi dengan kain merah dan kemudian ditikam.

“Linda juga teruja melihat masyarakat Barcelona yang begitu taksub apabila pasukan bola sepak negara mereka berada dalam senarai teratas liga Sepanyol. Rasa takut pun ada melihat mereka meraikan kejayaan itu seperti menyambut hari kemerdekaan. Sana-sini menjerit sambil menyanyikan lagu semangat negara mereka. Jalan pun jadi sesak dan perkhidmatan teksi serta tren bawah tanah juga penuh,” kata Linda teruja.

Teruja jumpa Datuk Shake di London

PALING dikenang Linda hingga saat ini ialah kesempatan berharga bertemu dengan seorang penghibur tempatan yang merantau ke negara orang. Maksud Linda, kenangan indah itu berlaku ketika dia menaiki Metro (tren bawah tanah) di Paris. Ketika itu tanpa diduga Linda bertemu dengan penyanyi Datuk Shake.

“Di dalam hati terdetik juga di hati Linda, takkan tak ada langsung orang Melayu atau rakyat Malaysia. Mata Linda ada menoleh sana-sini dan akhirnya Linda berpeluang bertemu secara dekat dengan Datuk Shake. Kami sempat bergambar bersama dan beliau melayan Linda dengan baik.

“Beliau sangat peramah dan masih membicarakan perkembangan muzik tanah air kita termasuklah program Akademi Fantasia. Beliau ada memberitahu sedang dalam proses untuk menghasilkan album Inggeris terbaru di Paris. Perasaan teruja melingkari minda Linda dan bayangkan kami tidak pernah bertemu di negara kita. Alih-alih, tanpa disangka bertemu di negara orang,” kata Linda mengakhiri bicara.

INFO: Percutian Linda Onn
  • Pengalaman yang tak dapat dilupakan Linda ialah sewaktu berada di lapangan terbang di Paris untuk ke Rome. Gara-gara masalah jurang komunikasi kerana masing-masing seperti itik dan ayam, maka Linda dan yang lain terlepas penerbangan yang dijadualkan. Oleh kerana nak kembali ke hotel adalah tindakan yang leceh, lalu keputusan yang dibuat ialah tidur dan lepak di lapangan terbang sambil menanti penerbangan yang seterusnya.

  • Kata Linda kerana terlalu banyak makan di luar negara, pipinya kini semakin mengembang malahan berat badannya sudah mula naik. Cuaca sejuk yang dialami di empat lokasi percutian terbabit membuatkan Linda cepat berasa lapar. Paling sejuk ialah di London. Kata Linda lagi, memang susah untuk mencari makanan halal dan menu yang mudah serta menjadi pilihan seperti hidangan kebab, piza sayur-sayuran dan spageti tomato. Di Barcelona, Linda menemui sebuah kedai makanan bercirikan Thailand dan kedai itu menjadi lokasi wajib Linda dan yang lain untuk mencuba menu Malaysia seperti tomyam dan nasi goreng kampung. Sambil berseloroh, Linda bergurau dengan berkata, kalau sudah lidah orang Melayu tetap begitu juga akhirnya.

  • Mengenai stesen radio Sinar FM, Linda memberitahu dia semakin selesa bertugas di situ. Malah ketika berada di Barcelona, ada SMS yang diterimanya memberitahu peningkatan rating pendengar stesen radio itu. Paling mengujakan Linda ialah ramai peminatnya yang dulu mendengar Era sudah beralih ke Sinar. Sokongan peminat dan pendengar menerusi SMS, e-mel dan laman sembang, Facebook terus menguatkan semangatnya.
Sumber : Berita Harian

0 comments: