CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, March 7, 2009

GAMBAR RIHANNA KENA PUKUL

gambar Rihana dipukul

Gambar
Rihana penyanyi R&B yang dipukul oleh teman lelakinya, Chris Brown. Gambar menunjukkan kecederaan di bibir Rihana dan di pipinya.

Kes Rihana dipukul ini menyebabkan konsertnya di Kuala Lumpur yang ditaja oleh Celcom ditanggguh kepada tarikh yang belum diputuskan lagi.

Konsert Rihana di Kuala Lumpur sebelum ini ditentang keras oleh PAS kerana dikatakan menyokong Amerika sedangkan kempen Boikot Israel hangat diperkatakan ketika ini.

Sumber gambar: The Sun

P/S : Kah kah kah..mcm muka OM jak Rihanna ne..(org sabah ja tahu OM tu apa..klaw nak taw..cari member2 sabah..lepas tu tanya apa OM tu..aku malas nak bagik penerangan)...mcm OM..kah kah kah!!

Gementar diganggu makhluk halus



Misteri Nusantara 2009 didik penonton tidak mempercayai perkara tahyul, khurafat

TERSEREMPAK lembaga hitam di bilik hotel, selain badan ditindih ketika tidur hingga mengalami kesukaran bernafas antara pengalaman menakutkan pernah dilalui Penerbit Misteri Nusantara 2009, Mohd Naim Niamat, sepanjang pembabitannya dalam penerbitan dokumentari popular itu.

Beliau berkata, peristiwa yang masih segar dalam ingatannya itu berlaku di sebuah hotel di Narathiwat, Thailand sejurus selesai membuat liputan mengenai `Sami Batu’ untuk musim pertama dokumentari berkenaan, enam tahun lalu.

“Masuk saja dalam bilik hotel, saya terdengar dentuman kuat sebelum muncul lembaga hitam itu. Saya buat tidak tahu saja dan terus tidur. Ketika itulah, saya rasa badan seperti ditindih satu benda berat. Memang tidak boleh bergerak langsung, nafas pun sesak. Ketika itulah, saya teringat pesan orang tua-tua supaya gerakkan ibu jari kaki dan baca ayat Kursi. Alhamdulillah, benda itu pun hilang. Itulah ujian pertama saya alami ketika mula-mula bertugas untuk Misteri Nusantara,” katanya.

Naim memberitahu B*Pop, gangguan itu tidak hanya terhenti di Thailand, malah turut mengikutinya pulang ke tanah air hingga mengganggu kehidupannya sekeluarga, malah prestasi kerjanya juga terjejas.

“Bila balik rumah, anak saya yang baru lahir menangis tidak henti-henti terutama pada lewat malam. Ingatkan anak saya sakit lalu membawanya berubat dengan seorang tokoh agama. Dia memberitahu saya ada banyak benda yang `mengikut’ saya. Mulanya memang saya serik sehinggalah dipanggil semula untuk musim baru kali ini. Saya menerima tawaran itu atas dasar tanggungjawab mahu mendidik masyarakat supaya tidak mempercayai benda tahyul hingga menyekutukan Allah,” katanya.

Sepanjang bertugas di TV3, sudah banyak program dokumentari sudah diterbitkannya, namun beliau menganggap bertugas dengan Misteri Nusantara paling mencabar, malah tidak semua petugas di stesen televisyen itu sanggup bekerja untuk program berkenaan.

Malah, sebagai langkah keselamatan juga, katanya, tiada petugas wanita diambil untuk musim kali ini bagi mengelak sebarang gangguan seperti dialami dalam musim terdahulu, kecuali petugas wanita terbabit bersemangat kental seperti Mazlin Nordin.

“Jika program lain lebih kepada cabaran fizikal, kami pula lebih kepada cabaran mental. Kami tidak tahu apa yang akan berlaku, apa yang akan ditemui di lokasi liputan. Perasaan gentar dan takut tetap ada, namun tugas perlu diselesaikan. Sebab itulah, tidak ramai penerbit, wartawan dan krew sanggup bekerja untuk program ini. Contohnya, ada satu episod dalam musim kali ini memaparkan kisah pemburu hantu. Kami terpaksa `turun padang’ untuk melihat sendiri bagaimana tugas ini dilakukan,” katanya.

Naim berkata, bukan beliau saja pernah mengalami gangguan, malah sebahagian besar petugas produksi Misteri Nusantara 2009 pernah mengalami peristiwa pelik.

“Seorang petugas, Djaka Legawa nyaris disambar petir ketika membuat liputan Pokok Tara (tempat menguburkan bayi) di Sulawesi, Indonesia. Suasana yang pada mulanya tenang terus bertukar menjadi ribut sebaik dia membuka sebuah lubang berisi mayat bayi.

Malah, ketika melakukan penggambaran gong besar di Jawa Barat, tiba-tiba badannya dipegang dan bajunya ditarik sedangkan tiada sesiapa pun dalam gua itu kecuali krew. Lebih menghairankan, pemilik gong itu yang tinggal jauh dari lokasi penggambaran tahu mengenai kejadian itu,’” katanya.

Justeru, katanya, persediaan rapi akan dibuat oleh unit produksi sebelum ke lokasi, termasuk melakukan kajian mendalam terhadap sesuatu kisah yang bakal dipaparkan.

“Tidak boleh sesuka hati masuk sesuatu tempat. Biasanya, kami akan kaji dulu tahap `kekerasan’ sesebuah tempat. Kalau keras sangat. mesti ada orang yang berpengalaman dan pandai ilmu agama akan mengiringi sebagai langkah keselamatan. Kami pun bukanlah berani sangat!

“Sebenarnya, bukan mudah menerbitkan program ini. Banyak pantang larang perlu dijaga. Jangan buat kelakuan tidak senonoh, tidak boleh takbur dan perlu ada rasa hormat terhadap sesuatu tempat dikunjungi. Kita kena terima hakikat, ada makhluk lain selain manusia di muka bumi ini,” katanya.

Disiarkan setiap Jumaat, jam 9.30 malam, Misteri Nusantara 2009 yang diterbitkan sebanyak 13 episod, dengan penggambarannya berlangsung dari Julai hingga November lalu di Jakarta, Bandung dan Sulawesi menawarkan banyak keunikan berbanding dua musimnya sebelum ini.

“Kali ini, paparan kami lebih realistik... lebih banyak aksi di lokasi berbanding dulu yang lebih bertumpu kepada mitos dan legenda. Contohnya, cerita pemburu hantu yang saya katakan tadi. Penonton mungkin tidak nampak hantu tetapi dapat melihat pergerakan atau perbuatan makhluk itu,” katanya.

Naim berkata, segala bahan yang dipaparkan mempunyai fakta berdasarkan maklumat penduduk setempat, selain kajian di lokasi.

“Ini penting kerana selain menghiburkan penonton, kami tidak mahu lari dari matlamat asalnya memberi kesedaran dan mendidik masyarakat, bukan mempromosikan perkara khurafat. Tiada apa yang perlu ditakuti kecuali Allah. Cuma, kita mahu penonton percaya pada kewujudan alam ghaib,” katanya.

Selain Naim, turut terbabit dalam penerbitan Misteri Nusantara 2009 ialah Mazlin sebagai Penerbit Eksekutif, Djaka (Penerbit Bersama), Shahnun Haniff Abdullah Suhaimi (Penolong Penerbit), Saiful Hadi Ahmad dan Mohd Fairuz Mohd Aref (Pembantu Penerbit).

Manakala, Zainal Ariffin Ismail yang terkenal dengan taglinenya, `Usah biarkan hidup anda diselubungi misteri...’, masih dikekalkan sebagai pengacara program popular itu, yang siaran episod pertamanya pada 21 November lalu mencatatkan rating 1.3 juta penonton.

Michael Jackson baca al-Quran setiap hari

MEMBACA kitab suci al-Quran menjadi amalan harian Michael Jackson malah akur melaluinya dia menemui kekuatan dan kesungguhan dalam menempuh segala macam dugaan dan rintangan yang tidak pernah henti-henti melanda.

Menurut jurucakap yang turut mengikuti peralihan hidup Raja Pop dunia itu selepas berhijrah memeluk Islam, Michael sudah mula mengamalkan cara hidup sebagai seorang muslimin sedikit demi sedikit. Tambah jurucakap berbangsa Afrika-Amerika itu, sama ada dia akan meneruskan perjalanan penuh berliku dan mendalami Islam dengan lebih serius lagi semuanya akan terlihat tidak berapa lama lagi.

Jelas jurucakap penghibur legenda itu, pihaknya sudah mengesahkan kepada semua media di seluruh dunia mengenai kebenaran desas-desus mengatakan Michael Jackson kini memeluk agama Islam.

“Michael mungkin masih belum begitu mendalami pengisian yang dibawakan dalam setiap kalimah Allah, sebagai contoh berbuat baik kepada orang lain seperti anda mahu orang lain berbuat baik kepada kita. Bagaimanapun usaha berterusannya untuk terus komited mendalami ajaran Islam dan mendapat hidayah serta petunjuk daripadaNya,” kata sumber.

Katanya, Michael yang turut digelar Jacko sudah mula menyesuaikan diri dengan kegiatan yang berkaitan dengan saudara baru.

“Selama ini pun Michael memang tidak makan daging apatah lagi daging khinzir, jadi soal makanan bukanlah masalah utama di sini.

Khabar lain pula mengatakan selain dunia digemparkan dengan Michael memeluk Islam, dia juga dikatakan sedang bergelut dengan maut. Malah, khabar angin yang mengatakan dia memerlukan pembedahan pemindahan paru-paru juga sering digembar-gemburkan.

“Michael memang punya masalah kesihatan dan paru-parunya juga dalam keadaan yang tidak begitu sempurna,” tambah jurucakap itu lagi.

Ternyata, sepanjang 2008, Michael menghiasi muka depan dada akhbar, namun kesemuanya langsung tiada kaitan dengan dunia muzik yang dicintainya. Kebanyakannya memfokus pada status kewangan sehingga dia dikatakan terpaksa melepaskan ladang Neverland yang cukup terkenal suatu ketika dulu.

Tidak terkecuali hijrahnya kepada Islam tidak lama selepas itu dikaitkan kononnya Raja Pop itu berdepan masalah undang-undang dengan Putera Bahrain, Sheikh Abdulla Hamad Al Khalifa yang menyaman Michael sejumlah AS$7 juta berhubung isu wang pendahuluan yang disangka Michael adalah pemberian dari Sheikh Abdulla.

Bagaimanapun, Michael sebenarnya sudah tidak sabar lagi untuk kembali ke gelanggang seni selepas kali terakhir menerbitkan Invincible (2001). Album terbaru yang bakal menggandingkan dirinya dengan komposer tersohor, Ne-Yo itu masih lagi belum diberikan judul.

Pengarah, pelakon cirit birit di lokasi filem 'hantu'

Oleh Hardi Effendi Yaacob

Lisa Surihani selepas dirasuk.

"GANGGUAN dialami sepanjang penggambaran filem ini boleh tahan juga walaupun ia tidaklah sehebat ketika saya mengarahkan Jangan Pandang Belakang (JPB) sebelum ini," demikian kata pengarah terkenal, Ahmad Idham Ahmad Nazri mengenai pembikinan filem terbarunya, Jangan Pandang Belakang Congkak.

Ketika dihubungi B*Pop baru-baru ini, beliau turut menyatakan rasa syukur apabila penggambaran filem itu berjalan lancar, malah berjaya disiapkan dalam tempoh 25 hari seperti dirancangkan, bermula 23 November hingga 25 Disember lalu.

“Jika Jangan Pandang Belakang dulu ramai pelakon wanita diganggu makhluk halus hingga diserang histeria, dengan seorang stuntman terjatuh dan terbunuh, penggambaran kali ini tidaklah teruk sangat diganggu walaupun beberapa lokasi dikenal pasti `keras’. Ini mungkin disebabkan persediaan sudah dibuat berdasarkan pengalaman lalu, termasuk mengetahui tertib masuk ke sesuatu tempat. Yang penting, pembukaan mesti ada doa selamat. Percaya atau tidak, itu soal lain tetapi rasionalnya setiap tempat itu ada `penghuninya’ dan perlu dihormati,” katanya.

Bagaimanapun, Idham tidak dapat melupakan pengalamannya mengalami cirit birit yang teruk, begitu juga pelakon utama lain hingga mengganggu sedikit jadual penggambaran.



“Yang menghairankan, cuma saya dan pelakon saja kena cirit birit, manakala krew semuanya sihat. Padahal, kami sama-sama menikmati hidangan yang disediakan. Sampai sekarang saya masih tertanya-tanya kenapa, mengapa dan bagaimana kejadian itu boleh berlaku.

Namun, saya tidak pasti sama ada ini gangguan pelik atau tidak. Bergantunglah kepada orang ramai untuk membuat tafsiran mereka,” katanya.

Walaupun sudah mengarahkan pelbagai versi filem komedi sebelum ini, namun beliau menganggapnya tugasnya mengarahkan Jangan Pandang Belakang Congkak terbitan bersama MIG Productions dan Excellent Pictures cukup berat.

Malah, beliau menganggap tugas itu lebih mencabar berbanding pengalamannya mengarahkan Senario The Movie - Episode One, selain Mr Cinderella, Tentang Bulan, Tipah Tertipu dan Brainscan yang mewakili genre komedi romantik, komedi kanak-kanak serta road comedy sebelum ini.

“Biasanya, kalau arah filem berat yang jadi berat, inilah cerita komedi jadi berat. Ada banyak faktor di sebalik senario ini, termasuklah percubaan saya membuat pembaharuan dengan memperkenalkan genre seram komedi, yang pertama kali seumpamanya dilakukan di negara ini.

“Dari segi pencahayaan, set dan props, memang filem ini membangkitkan unsur seram seperti JPB dan Congkak. Cuma, di setiap penghujung adegan, ada unsur komedi ditampilkan... saya cuba mengadunkan kedua-dua unsur ini untuk mencari satu kelainan,” katanya.

Beliau turut menafikan cuba mencedok konsep filem `spoof’, trend penerbitan filem yang cukup popular di Hollywood, lebih-lebih lagi dengan kemunculan filem seperti Scary Movie yang mendapat sambutan di seluruh dunia.

“Jangan Pandang Belakang Congkak dan Scary Movie menampilkan genre berbeza. Scary Movie menggabungkan petikan adegan filem seram dan komedi popular sebelum ini dalam satu filem. Manakala, filem saya filem baru, menggunakan skrip baru berdasarkan idea original pengkaryanya.

“Biarpun judulnya menggunakan judul dua filem yang pernah ditayangkan sebelum ini, namun jalan ceritanya tidak ada kena mengena langsung. Malah, tidak akan ada langsung adegan dari kedua-dua filem itu,” katanya.

Selain gimik mahu menarik perhatian penonton ke pawagam, penggabungan dua judul filem seram terlarisnya itu, katanya, pemilihan judul berkenaan juga sebagai perlambangan bagi menarik penonton membongkar misteri filem berkenaan.

“Bukan suka-suka kami menggunakan judul itu, sebaliknya memang ada kena mengena dengan jalan ceritanya. Ia sebagai perlambangan misteri di sebalik congkak itu. Ada sebab mengapa tidak boleh melihat di belakang congkak itu.

“Jika mahu mengetahui apakah misteri itu, jangan lupa menantikan kemunculan filem ini di pawagam di seluruh negara suku kedua tahun ini. Jika Jangan Pandang Belakang Congkak dapat ditayangkan pada Hari Raya Puasa, itu sudah dianggap satu bonus,” katanya.

Idham berkata, Jangan Pandang Belakang Congkak yang menjalani penggambaran di Kuala Lumpur dan sekitar Kangar, Perlis termasuk Gua Kelam, Wang Kelian, Bukit Air dan Gua Cenderawasih turut mencipta sejarah tersendiri apabila membabitkan jumlah pelakon utama teramai iaitu 16 orang.

“Bila unsur seram komedi diadunkan, memang banyak perkara di luar jangkaan. Saya cuba menggabungkan aksi lawak dari tiga era iaitu Lan Pet Pet, Cat Farish dan Sam Shahiezy, sekali gus menjadi penyampaiannya lebih santai dan menghiburkan,” katanya.

Filem yang membabitkan bajet RM1.8 juta turut menampilkan pelakon Lisa Surihani, Den Wahab, Pet, Azlee Jaafar, Zarina Zainoordin, Dina (Malaysian Idol) dan Mas Muharni, bakat baru yang pertama kali diketengahkan dalam filem Wayang arahan Profesor Dr Hatta Azad Khan sebelum ini.

Ia mengisahkan tiga bersaudara yang cuba merungkai rahsia arwah datuk mereka yang boleh hidup lama sehingga mencecah usia 100 tahun. Namun, mereka tidak mengetahui arwah mengamalkan ilmu hitam, termasuk membela saka hingga menyukarkan detik kematiannya.

Sebelum menghembuskan nafas terakhir, arwah sempat menulis wasiat tanpa mereka mengetahui wasiat itu adalah untuk mewarisi setiap saka belaannya.

Rozita bawa watak DSP Zita

AKHIRNYA aktres jelita yang sentiasa dihambat kontroversi, Rozita Che Wan berpeluang menyarungkan pakaian seragam anggota polis berpangkat, Deputi Superintendan (DSP) apabila dia hadir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, 17 Januari lalu apabila terbabit dengan penggambaran drama bersiri kepolisan musim baru, Gerak Khas terbitan Skop Productions selepas hampir dua bulan dia dikatakan bermain tarik tali dengan penerbitnya, Datuk Yusof Haslam hingga dia dituduh mungkir janji.

Rozita yang diberi watak sebagai DSP Zita sebelum ini didakwa gagal memberikan kerjasama kepada produksi berhubung tarikh penggambarannya sehingga menimbulkan kesukaran kepada krew terbabit sekalipun dia sudah menandatangani kontrak sebagai tanda persetujuannya menjadi salah seorang warga baru Skop Productions. Yusof pula dikhabarkan kecewa dengan sikap berdolak dalik Rozita mengenai tarikh penggambaran itu.

Pun begitu, segala persoalan yang mendakwa Rita mungkin janji akhirnya terlerai apabila dia hadir penggambaran hari pertama bersama warga kerja Gerak Khas, Sabtu lalu. Dia juga sudah memberikan beberapa tarikh yang bersesuaian sepanjang Januari ini untuk membolehkannya menjayakan penggambaran drama bersiri yang sudah 10 tahun bersiaran menerusi RTM itu.

Ini disebabkan jadual penggambaran Rozita begitu padat sepanjang suku pertama tahun ini, justeru dia harus bijak mengatur masa penggambaran supaya tidak bertembung dengan jadual Gerak Khas. Terbaru, Rozita sedang sibuk menjalani penggambaran telefilem, Rahsia Gambar arahan M Hitler yang dijadualkan mengisi slot Cerekarama TV3, tidak lama lagi.

“Alhamdulillah, saya sudah pun berpeluang menyarung pakaian seragam sebagai DSP Zita dalam Gerak Khas. Apa yang berlaku sebelum ini sekadar salah faham dengan Skop Productions. Saya tidak pernah mungkin janji dengan mereka, lebih-lebih lagi saya sudah pun menandatangani kontrak seperti yang diminta Datuk Yusof.

“Hubungan saya dengan Datuk Yusof bersama krew Gerak Khas tidak berdepan sebarang masalah sekalipun ada dakwaan sebelum ini yang mengatakan hubungan saya dengan mereka, dingin. Lebih penting, kali pertama saya bekerja dengan Skop Productions dan keluarga Gerak Khas, Datuk Yusof sendiri bertindak sebagai pengarah, saya rasa bangga!,” kata Rozita bersungguh-sungguh.

Sekalipun baru hari pertama, Rozita ‘dilenjan’ menjalani penggambaran sejak awal pagi hingga lewat malam, sekali gus terpaksa menahan panas dalam pakaian seragam polisnya.

“Datuk kata, itu baru sikit, belum lagi saya perlu menjalani penggambaran di lokasi luar dengan aksi kejar mengejar dan tembak menembak. Baru saja shooting di IPK, menitis peluh dibuatnya! Tapi, saya seronok bekerja dengan Skop Productions. Sekurang-kurangnya hasrat saya tercapai nak pakai uniform polis selepas tidak berpeluang mengenakannya dalam filem Sifu & Tongga.

“Kini, apa yang saya harapkan saya dapat menjalani kehidupan peribadi dan bekerja lebih aman sepanjang 2009. Tidak lagi dibebani dengan pelbagai kontroversi dan gosip liar,” kata Rozita yang baru-baru ini menyelar dan membidas golongan VIP dan VVIP yang gemar ‘membeli’ artis cantik menerusi surat terbukanya kepada sebuah akhbar tabloid mingguan.

Rozita juga tidak lama lagi akan membintangi filem terbarunya, Dimensi Cinta dan jika segala urusan berjalan lancar, dia dijadualkan berlakon di samping artis remaja yang pernah dihambat kontroversi kerana kes khalwat, Memey Suhaiza.

Majalah 3 tetap di hati penonton

Oleh Hardi Effendi Yaacob
Mazlin dan Nurul Syuhada di studio maya Majalah 3.

Kekal sebagai program tempatan berkonsep majalah paling popular walaupun sudah bersiaran selama 25 tahun

MULA disiarkan pada 1 Januari 1985, Majalah 3, antara program terawal terbitan stesen televisyen nombor satu negara, TV3. Kini rancangan itu masih mampu mengekalkan popularitinya hasil pelbagai pembaharuan mengikut peredaran masa yang dilaksanakan tenaga produksinya terutama dari segi pengisian, cara persembahan dan pengacaranya.

Ini termasuk pengenalan empat segmen utamanya dikenali seperti Perspektif, Singgah, Coretan dan Lipatan Sejarah membabitkan bahan paparan dari dalam mahupun luar negara yang dijangka mampy menarik perhatian penonton.

Penerbit Eksekutif Majalah 3, Mazlin Nordin, berkata segmen Perspektif lebih memaparkan kehidupan manusia, haiwan, alam semula jadi dan inovasi sains dari dalam mahupun luar negara yang sentiasa menarik perhatian penonton.




“Contohnya, kehidupan masyarakat Cocos di Sabah, dilema golongan kurang upaya (OKU), rintihan penduduk Palestin yang menjadi kekejaman Israel, pemburuan ular sawa anaconda dan lagenda buaya keramat, Bujang Senang di Sarawak,” katanya kepada B*Pop ketika ditemui baru-baru ini.


Beliau menjelaskan, pemilihan topik yang dipaparkan biasanya dibuat berdasarkan perbincangannya dan krew produksi, selain maklum balas penonton dan sumber media lain, termasuk surat khabar.

“Segmen Singgah pula memaparkan keistimewaan sesebuah tempat yang menjadi lokasi persinggahan orang ramai. Contohnya, Temerloh yang dikaitkan dengan ikan patin. Bagaimanapun, untuk episod tertentu akan ada lokasi luar negara dipaparkan kerana wartawan kami turut bertugas di luar negara.

“Manakala, Coretan memaparkan rahsia di sebalik nama individu, tempat atau peristiwa. Contohnya, jurugambar yang merakamkan aksi Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan negara, selain Haji Samuri yang dikaitkan dengan kelazatan sate yang dijualnya,” katanya.

Katanya, atas komitmen memberikan kesedaran kepada masyarakat, terutama generasi muda, Majalah 3 turut menyediakan segmen khas, Lipatan Sejarah bagi memaparkan peristiwa bersejarah yang tidak diketahui ramai sebelum ini.

“Kami pernah memaparkan mengenai sejarah Kuala Kubu Baru. Selama ini ramai yang tahu cuma ia sebagai pintu masuk ke Bukit Fraser. Sebenarnya, tidak ramai tahu tempat ini pernah berlaku tragedi berdarah bila Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Henry Gurney diserang hendap pengganas komunis,” katanya.


Penggambaran Majalah 3 di luar studio.

Buat pertama kalinya juga, siaran langsung dokumentari ini yang dihoskan Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zain dilakukan dari studio maya, kemudahan pertama seumpamanya dibina di TV3.

“Untuk 2009, penggunaan `moderator outdoor’ memang dikurangkan kecuali untuk tugasan tertentu yang memerlukan penggambaran di luar. Ini sebahagian daripada kaedah kami menyampaikan infomasi secara lebih santai dan menghiburkan kepada penonton.

“Kami juga sedang berusaha menggabungkan semula bekas hos untuk berkongsi pengalaman mereka mengendalikan program ini bersama penonton sebagai simbolik Majalah 3 - 25 Tahun. Ia sesuatu yang menarik sebab ia belum pernah dilakukan sebelum ini,” katanya.

Selain Wan Zaleha Radzi, Majalah 3 pernah dihoskan oleh Ezzah Aziz Fawzy sebelum berpindah tangan kepada Azura Abdul Karim, Zakiah Anas, Yushanani Yushak, Tengku Mimi Wahida Wahman, Zainal Ariffin Ismail, Norazlina Redzuan dan Norzie Pa’ Wan Cik.

Sepanjang 11 tahun bertugas untuk program itu, pelbagai pengalaman pernah ditempuh penerbit cekal ini, begitu juga krew penerbitannya dalam usaha mencari bahan menarik untuk dipaparkan kepada penonton program dokumentari itu.

Antaranya misi membawa pulang badak air dari Bostwana, Afrika menggunakan pesawat khas, Hercules C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk ditempatkan di Wetland, Dengkil hasil inisiatif mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Bayangkan, saya terpaksa duduk dalam pesawat bersama badak air selama 26 jam. Bimbang juga kalau haiwan itu mengamuk dalam pesawat. Bagaimanapun, saya bersyukur misi itu berjalan lancar dan selamat tiba di tanah air tanpa sebarang insiden tidak diingini.

“Namun, pengalaman paling menarik ketika berpeluang melihat proses mengawet mayat warga asing sebelum dihantar pulang ke negara asalnya. Itulah kali pertama saya menyaksikannya... memang seram dibuatnya. Sampai sekarang pun saya tidak boleh lupa kenangan itu,” katanya.

Mazlin mengakui hampir menitiskan air mata ketika membuat liputan mengenai kehidupan anak-anak kecil bersama bersama ibu masing-masing yang dipenjarakan atas pelbagai kesalahan jenayah.

“Anak-anak itu masih kecil, malah ada juga bayi ketika penggambaran dibuat. Mereka tidak mengerti apa-apa dan hidup macam biasa di sebalik tirai besi. Sebenarnya, liputan ini bertujuan menyelami kehidupan anak-anak ini dengan harapan dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap mereka.

“Alhamdulillah, liputan bukan saja mencapai misinya, malah turut memenangi kategori Program Dokumentari TV Terbaik pada Anugerah Skrin TV3 1999. Itulah anugerah pertama saya menang selepas bergelar Penerbit Majalah 3,” katanya.

Berdasarkan pengalaman yang ditempuh penerbit ini, diakui bukan mudah mahu mendapatkan bahan untuk dipaparkan kepada penonton, malah pelbagai cabaran dan risiko terpaksa dihadapi krew penerbitan Majalah 3.

“Kami ke Lembah Beriah, Taiping untuk mencari ular sawa anaconda. Kami terpaksa menaiki bot menyusuri sungai dalam hujan lebat. Bila lalu bawah pokok, tiba-tiba ternampak ular punti (ular katam tebu) yang cukup berbisa. Bayangkan kalau ular itu jatuh dalam bot kami... mahu haru-biru dibuatnya!

“Memang tugas ini mencabar dan selalunya kami berserah saja pada Allah. Itu baru cerita di sungai, belum lagi cerita masuk hutan. Sebab itulah saya selalu mengingatkan krew supaya berhati-hati dan tidak celupar kalau nampak benda pelik-pelik,” katanya.

Bagaimanapun, Mazlin yang turut terbabit dalam penerbitan Misteri Nusantara dan Bersama Mu, memuji komitmen pengacaranya, Nurul Syuhada sepanjang misi pemburuan ular sawa anaconda itu berlangsung.

“Itulah pertama beliau memegang ular. Dari reaksi wajahnya, memang dia nampak takut tetapi saya memberikannya keyakinan untuk melakukan tugasan itu. Alhamdulillah, dia berjaya melakukan tugasan itu dengan baik untuk tugasan berikutnya di Rompin.

“Di Majalah 3, walau sesukar mana pun tugasan diberikan, saya akan memastikan krew termasuk pengacara melakukannya sebaik mungkin demi kepuasan penonton yang tidak henti-henti memberikan sokongan selama ini,” katanya.

INFO:

  • Program: Majalah 3
  • Konsep: Majalah Dokumentari
  • Waktu Siaran: Sabtu/9 malam
  • Segmen: Perspektif, Singgah, Coretan dan Lipatan Sejarah
  • Pengacara: Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zain
  • Penerbit Eksekutif: Mazlin Nordin
  • Penolong Penerbit: Shahnun Haniff Suhaimi
  • Wartawan: Nurul Fariha Onn, Irin Putri Azmi dan Muhd Kamal Zakry Zainal
  • Pembantu Penerbitan: Idrus Ibrahim
  • Rating: 2.2 juta penonton (purata)

Kapoww! kisah superhero derhaka

Sekitar penggambaran filem Kapoww!
Oleh Suzan Ahmad

KAPOWW! satu lagi sentuhan sutradara Azizi ‘Chunk’ Adnan yang juga berkonsep superhero sedang giat menjalani penggambaran sejak 15 Februari lalu. Filem yang menelan kos dianggarkan menghampiri angka RM2 juta ini adalah terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd.

Judul ini agak unik dan antara lain maksud Kapoww! ialah akronim kepada Kesatuan Antarabangsa Peringkat Olimpik Wira Wira, iaitu mengisahkan cerita ala Tanggang Anak Derhaka tetapi dalam format superhero.

“Sebenarnya, saya tidak bermaksud langsung untuk mengkhusus dalam filem berkonsep superhero cuma genre dan jalan cerita begitu yang saya minat. Saya akui cukup gemarkan elemen komedi ringan disulami kesan khas apatah lagi humor.



Antara krew yang bekerja keras di sebalik tabir Kapoww!

“Besar kemungkinan juga secara peribadi saya sendiri memang kartun, maklum sebelum ini pun saya pernah terbitkan siri kartun seperti Tuah dan Yokies,” kata pengarah filem fantasi, Antoo Fighter ketika ditemui B*Pop di lokasi penggambaran filem itu di Kampung Sawah Sempadan, Tanjung Karang, Selangor, baru-baru ini.

Lebih gemar dipanggil Chunk, dia mengakui sehingga kini Toy ‘R’ Us adalah gedung wajib yang harus dikunjungi setiap hujung minggu untuk mendapatkan apa barangan mainan berupa miniature untuk memenuhi hobinya.

“Pada dasarnya, anda boleh anggap saya macam orang dewasa yang berjiwa kanak-kanak. Koleksi patung miniature saya pun sudah mencecah lebih 600 semuanya, itu belum lagi kegemaran saya yang suka menonton cerita kartun serta melayan imaginasi kanak-kanak,” katanya yang turut sibuk dengan produksi bersiri seperti Spa Q dan Awan Dania.

Berbanding Antoo Fighter, pendekatan Chunk terhadap Kapoww! berbeza. Jika Antoo Fighter lebih kepada fantasi yang sarat teknik janaan imej berkomputer (CGI) dan agak merapu, Kapoww! pula sarat dengan komedi tetapi masih merapu, selain CGI tetapi disuntik dengan emosi dan drama yang menyentuh perasaan.

“Kami cuba tonjolkan emosi menerusi hubungan emak dan anak kerana tanpa elemen itu ia jadi kosong dan sekadar hiburan semata-mata. Misi saya di sini ialah biarpun ia ada humor tetapi masih mampu membuat hingus penonton meleleh, jika itu berlaku maka misi ini tercapai,” kata Chunk.

Menyentuh soal barisan aktor yang dipilih, Chunk berkeyakinan kombinasi kali ini adalah yang paling seimbang dan sempurna pernah dikumpulkan.

Lokasi penggambaran Kapoww! di Tanjung Karang.

“Tidak banyak yang perlu saya ganggu dari segi lakonan, kerana boleh dikatakan mereka cukup profesional dalam bidang masing-masing. Ada yang dikenali kerana watak komedi dan ada yang bukan, namun masih terkandung sedikit elemen komedi dalam diri mereka yang berjaya disalurkan secara semula jadi.” katanya yang mengakui inilah filem paling mahal pernah diarahkannya.

Watak lakonan Sofi Jikan misalnya, walaupun memegang watak antagonis, gemar berpuisi dengan bahasa yang cukup tinggi, punya wawasan tetapi akal pendek. Lain pula dengan protagonis yang dibawa Zizan lebih banyak reaksi berbanding vokal.

“Pelbagai variasi dari segi lakonan, lawak tongong, lawak cerdik dan lawak yang perlu untuk kita berfikir turut terkandung dalam filem ini. Kesan khas juga rumit kerana banyak aksi terbang, bertempur sehingga langit jadi merah, keluar naga kepala tiga dan semua ini akan dibuat di Putrajaya,” jelasnya yang menjadikan siri kartun Dungeon’s & Dragons dan Dragon Heart sebagai panduan teknikal.

Kesimpulannya, kelainan yang jarang wujud dalam filem lain tetapi ada dalam filem superhero arahannya adalah satira atau kritikan sosial yang memerlukan penonton berfikir sedikit.

“Walaupun komedi, ada sesuatu yang ingin saya sampaikan dalam cara lembut, tidak kiralah sama ada ia kritikan sosial mahupun politik. Saya sekadar menterjemah dan mempersembahkan dalam bentuk hiburan,” kata Chunk.

Kapoww! berkisarkan Atoi (Zizan) budak kampung yang terlalu obses menjadi superhero serta disokong kawan baiknya, Abu (Bell). Suatu hari, ketika Atoi hendak mengambil kerbau, dia disambar petir. Akibatnya dia mendapat kekuatan luar biasa seperti kelajuan cahaya, tangan dengan kuasa elektrik, pandangan seperti X-Ray dan pendengaran yang tajam. Kekuatan Atoi melayakkannya menyertai Kapoww!.

Namun, sayangnya kekuatan luar biasa itu membuatkan dia mula lupa diri dan keluarga. Akhirnya ibunya mengenakan sumpahan terhadapnya dan Atoi kehilangan kuasa luar biasa.

Info filem
Judul: Kapoww!
Pengarah: Azizi ‘Chunk’ Adnan
Genre: Aksi/ komedi/drama
Pelakon: Zizan (Raja Lawak), Lisa Surihani, Sofi Jikan, Khir Rahman, Awie, Kuman, Bell Ngasri, Rosnah Mat Aris,
Pengarah Fotografi: Helmi
Skrip: Azizi ‘Chunk’ Adnan
Lokasi: Kuala Lumpur, Putrajaya dan Tanjung Karang
Bajet: Hampir RM2 juta
Jangka Tayang: Musim Aidilfitri.