CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, March 7, 2009

Majalah 3 tetap di hati penonton

Oleh Hardi Effendi Yaacob
Mazlin dan Nurul Syuhada di studio maya Majalah 3.

Kekal sebagai program tempatan berkonsep majalah paling popular walaupun sudah bersiaran selama 25 tahun

MULA disiarkan pada 1 Januari 1985, Majalah 3, antara program terawal terbitan stesen televisyen nombor satu negara, TV3. Kini rancangan itu masih mampu mengekalkan popularitinya hasil pelbagai pembaharuan mengikut peredaran masa yang dilaksanakan tenaga produksinya terutama dari segi pengisian, cara persembahan dan pengacaranya.

Ini termasuk pengenalan empat segmen utamanya dikenali seperti Perspektif, Singgah, Coretan dan Lipatan Sejarah membabitkan bahan paparan dari dalam mahupun luar negara yang dijangka mampy menarik perhatian penonton.

Penerbit Eksekutif Majalah 3, Mazlin Nordin, berkata segmen Perspektif lebih memaparkan kehidupan manusia, haiwan, alam semula jadi dan inovasi sains dari dalam mahupun luar negara yang sentiasa menarik perhatian penonton.




“Contohnya, kehidupan masyarakat Cocos di Sabah, dilema golongan kurang upaya (OKU), rintihan penduduk Palestin yang menjadi kekejaman Israel, pemburuan ular sawa anaconda dan lagenda buaya keramat, Bujang Senang di Sarawak,” katanya kepada B*Pop ketika ditemui baru-baru ini.


Beliau menjelaskan, pemilihan topik yang dipaparkan biasanya dibuat berdasarkan perbincangannya dan krew produksi, selain maklum balas penonton dan sumber media lain, termasuk surat khabar.

“Segmen Singgah pula memaparkan keistimewaan sesebuah tempat yang menjadi lokasi persinggahan orang ramai. Contohnya, Temerloh yang dikaitkan dengan ikan patin. Bagaimanapun, untuk episod tertentu akan ada lokasi luar negara dipaparkan kerana wartawan kami turut bertugas di luar negara.

“Manakala, Coretan memaparkan rahsia di sebalik nama individu, tempat atau peristiwa. Contohnya, jurugambar yang merakamkan aksi Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan negara, selain Haji Samuri yang dikaitkan dengan kelazatan sate yang dijualnya,” katanya.

Katanya, atas komitmen memberikan kesedaran kepada masyarakat, terutama generasi muda, Majalah 3 turut menyediakan segmen khas, Lipatan Sejarah bagi memaparkan peristiwa bersejarah yang tidak diketahui ramai sebelum ini.

“Kami pernah memaparkan mengenai sejarah Kuala Kubu Baru. Selama ini ramai yang tahu cuma ia sebagai pintu masuk ke Bukit Fraser. Sebenarnya, tidak ramai tahu tempat ini pernah berlaku tragedi berdarah bila Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Henry Gurney diserang hendap pengganas komunis,” katanya.


Penggambaran Majalah 3 di luar studio.

Buat pertama kalinya juga, siaran langsung dokumentari ini yang dihoskan Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zain dilakukan dari studio maya, kemudahan pertama seumpamanya dibina di TV3.

“Untuk 2009, penggunaan `moderator outdoor’ memang dikurangkan kecuali untuk tugasan tertentu yang memerlukan penggambaran di luar. Ini sebahagian daripada kaedah kami menyampaikan infomasi secara lebih santai dan menghiburkan kepada penonton.

“Kami juga sedang berusaha menggabungkan semula bekas hos untuk berkongsi pengalaman mereka mengendalikan program ini bersama penonton sebagai simbolik Majalah 3 - 25 Tahun. Ia sesuatu yang menarik sebab ia belum pernah dilakukan sebelum ini,” katanya.

Selain Wan Zaleha Radzi, Majalah 3 pernah dihoskan oleh Ezzah Aziz Fawzy sebelum berpindah tangan kepada Azura Abdul Karim, Zakiah Anas, Yushanani Yushak, Tengku Mimi Wahida Wahman, Zainal Ariffin Ismail, Norazlina Redzuan dan Norzie Pa’ Wan Cik.

Sepanjang 11 tahun bertugas untuk program itu, pelbagai pengalaman pernah ditempuh penerbit cekal ini, begitu juga krew penerbitannya dalam usaha mencari bahan menarik untuk dipaparkan kepada penonton program dokumentari itu.

Antaranya misi membawa pulang badak air dari Bostwana, Afrika menggunakan pesawat khas, Hercules C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk ditempatkan di Wetland, Dengkil hasil inisiatif mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Bayangkan, saya terpaksa duduk dalam pesawat bersama badak air selama 26 jam. Bimbang juga kalau haiwan itu mengamuk dalam pesawat. Bagaimanapun, saya bersyukur misi itu berjalan lancar dan selamat tiba di tanah air tanpa sebarang insiden tidak diingini.

“Namun, pengalaman paling menarik ketika berpeluang melihat proses mengawet mayat warga asing sebelum dihantar pulang ke negara asalnya. Itulah kali pertama saya menyaksikannya... memang seram dibuatnya. Sampai sekarang pun saya tidak boleh lupa kenangan itu,” katanya.

Mazlin mengakui hampir menitiskan air mata ketika membuat liputan mengenai kehidupan anak-anak kecil bersama bersama ibu masing-masing yang dipenjarakan atas pelbagai kesalahan jenayah.

“Anak-anak itu masih kecil, malah ada juga bayi ketika penggambaran dibuat. Mereka tidak mengerti apa-apa dan hidup macam biasa di sebalik tirai besi. Sebenarnya, liputan ini bertujuan menyelami kehidupan anak-anak ini dengan harapan dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap mereka.

“Alhamdulillah, liputan bukan saja mencapai misinya, malah turut memenangi kategori Program Dokumentari TV Terbaik pada Anugerah Skrin TV3 1999. Itulah anugerah pertama saya menang selepas bergelar Penerbit Majalah 3,” katanya.

Berdasarkan pengalaman yang ditempuh penerbit ini, diakui bukan mudah mahu mendapatkan bahan untuk dipaparkan kepada penonton, malah pelbagai cabaran dan risiko terpaksa dihadapi krew penerbitan Majalah 3.

“Kami ke Lembah Beriah, Taiping untuk mencari ular sawa anaconda. Kami terpaksa menaiki bot menyusuri sungai dalam hujan lebat. Bila lalu bawah pokok, tiba-tiba ternampak ular punti (ular katam tebu) yang cukup berbisa. Bayangkan kalau ular itu jatuh dalam bot kami... mahu haru-biru dibuatnya!

“Memang tugas ini mencabar dan selalunya kami berserah saja pada Allah. Itu baru cerita di sungai, belum lagi cerita masuk hutan. Sebab itulah saya selalu mengingatkan krew supaya berhati-hati dan tidak celupar kalau nampak benda pelik-pelik,” katanya.

Bagaimanapun, Mazlin yang turut terbabit dalam penerbitan Misteri Nusantara dan Bersama Mu, memuji komitmen pengacaranya, Nurul Syuhada sepanjang misi pemburuan ular sawa anaconda itu berlangsung.

“Itulah pertama beliau memegang ular. Dari reaksi wajahnya, memang dia nampak takut tetapi saya memberikannya keyakinan untuk melakukan tugasan itu. Alhamdulillah, dia berjaya melakukan tugasan itu dengan baik untuk tugasan berikutnya di Rompin.

“Di Majalah 3, walau sesukar mana pun tugasan diberikan, saya akan memastikan krew termasuk pengacara melakukannya sebaik mungkin demi kepuasan penonton yang tidak henti-henti memberikan sokongan selama ini,” katanya.

INFO:

  • Program: Majalah 3
  • Konsep: Majalah Dokumentari
  • Waktu Siaran: Sabtu/9 malam
  • Segmen: Perspektif, Singgah, Coretan dan Lipatan Sejarah
  • Pengacara: Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zain
  • Penerbit Eksekutif: Mazlin Nordin
  • Penolong Penerbit: Shahnun Haniff Suhaimi
  • Wartawan: Nurul Fariha Onn, Irin Putri Azmi dan Muhd Kamal Zakry Zainal
  • Pembantu Penerbitan: Idrus Ibrahim
  • Rating: 2.2 juta penonton (purata)

0 comments: