CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sunday, February 8, 2009

Artis baru, lama bersaing hebat


RIHANNA

HARI ini, semua mata akan tertumpu dan menanti dengan penuh keterujaan dan berdebar untuk mengetahui siapakah yang bakal mengecapi kegemilangan di pentas anugerah Grammy yang dilabelkan sebagai acara muzik paling berprestij di Amerika Syarikat (AS).

Biarpun dunia kini dilanda kesuraman dengan pelbagai insiden yang telah berlaku, namun, tidak siapa yang mampu menidakkan kuasa muzik dalam kehidupan seharian kita.

Begitu juga dengan Grammy yang cukup unik apabila ia merupakan medan untuk semua karyawan seni AS berkumpul dan sama-sama menikmati muzik dari pelbagai genre yang banyak yang merupakan nadi untuk mereka terus hidup.

Bertempat di Staples Centre, Los Angeles, California, Amerika Syarikat untuk kali ke-51, Grammy muncul kembali dengan membawa harapan dan sinar baru dalam industri muzik Hollywood walaupun pasaran muzik semasa agak lembap.

Namun pun begitu, dengan masih wujudnya Grammy untuk kali ke-51 dengan mempertandingkan 110 kategori dalam pelbagai genre dan bidang, ia sekali gus membuktikan, muzik masih lagi bernyawa biar apa pun rintangan dan cabaran yang dihadapi.

Tahun lalu, Grammy berjaya memperlihatkan kecemerlangan penyanyi bermasalah, Amy Winehouse apabila penyanyi lagu Rehab itu membolot lima anugerah termasuk Rakaman Terbaik dan Artis Baru Terbaik.

Bukan itu sahaja, penyanyi veteran, Herbie Hancock juga membuat kejutan apabila dinobatkan dengan anugerah Album Terbaik menerusi album River: The Joni Letters.

Persoalannya kini, siapakah yang bakal menyerlah pada Grammy tahun ini? Apa yang boleh dirumuskan tentang Grammy kali ini adalah apabila ia menyaksikan pertembungan antara artis baru dan lama yang mempertaruhkan genre muzik masing-masing.

Grammy edisi ke-51 menyaksikan penyanyi rap terkenal, Lil Wayne menerima lapan pencalonan termasuk Album Terbaik (Tha Carter III), Persembahan Rap Solo Terbaik (A Milli), Lagu Rap Terbaik (Lollipop) dan juga Persembahan Rap Duo/Berkumpulan Terbaik menerusi lagu Mr.Carter yang disampaikannya bersama Jay-Z.

Namun, laluan Lil Wayne bukanlah mudah yang disangka. Meskipun, mendapat pencalonan terbanyak itu bukan satu signal untuknya membolot kesemua anugerah yang dicalonkan.

Ini kerana dia perlu berdepan dengan kumpulan hebat Britain, Coldplay yang menerima tujuh pencalonan kali ini menerusi album mereka yang berjudul Viva La Vida Or Death And All His Friends.

Berbanding Lil Wayne yang hanya dicalonkan dalam satu kategori utama sahaja, Coldplay berjaya menempatkan diri dalam tiga kategori utama termasuk Album Terbaik, Rakaman Terbaik dan Lagu Terbaik untuk lagu Viva La Vida.

Sebelum ini, Coldplay pernah dinobatkan dengan anugerah Rakaman Terbaik pada tahun 2003 menerusi lagu Clocks.

Selain itu, Coldplay turut dicalonkan dalam empat kategori lain iaitu Persembahan Vokal Pop Duo/Berkumpulan Terbaik (Viva La Vida), Persembahan Vokal Rock Duo/Berkumpulan Terbaik (Violet Hill), Lagu Rock Terbaik (Violet Hill) dan Album Rock Terbaik.

Melihatkan kecemerlangan yang mereka tampilkan menerusi album berkenaan, tidak mustahil untuk mereka membolot banyak anugerah pada malam gilang-gemilang itu.

Artis baru seperti Jazmine Sullivan juga mempamerkan kecemerlangan yang tidak patut dipandang enteng. Mungkin namanya agak kurang dikenali di Malaysia namun di AS, dia merupakan penyanyi R&B yang semakin meningkat naik.

Anak didik penyanyi rap wanita tersohor, Missy Elliott ini menerima lima pencalonan termasuk Artis Baru Terbaik, Persembahan Vokal R&B Wanita Terbaik (Need U Bad), Album R&B Kontemporari Terbaik (Fearless), Lagu R&B Terbaik (Bust Your Windows) dan Persembahan Vokal R&B Tradisional Terbaik (I'm In Love With Another Man).

Bukan itu sahaja, nama pemenang Oscar, Jennifer Hudson juga menjadi sebutan kali ini apabila berjaya menerobos tembok kebal Grammy dengan menerima empat pencalonan.

Mempertaruhkan album perdananya, Spotlight, Jennifer dicalonkan untuk Album R&B Terbaik, Persembahan Vokal R&B Terbaik, Lagu R&B Terbaik serta Persembahan Vokal R&B Duo/Berkumpulan Terbaik menerusi lagu I'm His Only Woman yang disampaikannya bersama juara American Idol musim ketiga, Fantasia Barrino.

Namun, agak pelik juga apabila nama Jennifer tidak tercalon dalam kategori Artis Baru Terbaik. Tetapi, itulah adat Grammy yang sentiasa penuh dengan kejutan.

Bukan itu sahaja, juara American Idol musim keempat, Carrie Underwood juga 'bernasib malang' kali ini apabila hanya menerima satu pencalonan sahaja yang berlandaskan album keduanya, Carnival Ride.

Dia yang merupakan pemenang Grammy sebanyak tiga kali termasuk Artis Baru Terbaik pada tahun 2007 dicalonkan dalam kategori Persembahan Vokal Country Wanita Terbaik untuk lagu Last Name.

Mampukah Carrie mencipta hatrik tahun ini setelah dua tahun berturut-turut mengungguli kategori berkenaan? Sememangnya sukar untuk memberikan jawapan apabila empat calon lain bukanlah sembarangan.

Mereka yang dimaksudkan adalah Martina McBride, LeAnn Rimes, Lee Ann Womack dan Trisha Yearwood yang kesemuanya mempunyai kredibiliti yang cukup tinggi dalam muzik country.

Malam penuh bersejarah Grammy tidak akan lengkap seandainya tidak dihiasi dengan persembahan oleh barisan artis baru dan lama yang mewakili muzik masing-masing.

Selain daripada Jennifer dan Carrie yang akan memberikan persembahan mantap pada malam bersejarah itu, nama-nama seperti U2, Jonas Brothers, Leona Lewis, Miley Cyrus, Taylor Swift, Rihanna dan Justin Timberlake juga akan menghiburkan hadirin di Staples Centre dan juga penonton di rumah.

Secara eksklusifnya untuk penonton di Malaysia, anda akan dapat menonton Grammy secara langsung menerusi saluran Star World (saluran 711, Astro) bermula pukul 9 pagi manakala siaran ulangannya pula adalah pukul 8 malam.

Namun, bagi mereka yang tidak mempunyai perkhidmatan Astro, usah gusar kerana anda masih lagi dapat menontonnya secara percuma menerusi saluran 8TV (saluran 708, Astro) yang akan menayangkan siaran tertunda selama satu jam dari waktu asal.

0 comments: